Arkeologi gambaran kehidupan silam
Muhammad Rushidi kongsi pengalaman ekspedisi menerusi ekskavasi
Mengikuti pengajian dalam bidang sejarah adalah cabaran yang perlu ditempuh demi memastikan setiap kajian atau penemuan baharu itu menjadi fakta tepat buat masyarakat.
Namun, bagi seorang penuntut tahun akhir jurusan Sains Kajihajat, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Rushidi Azaman, ia perjalanan ilmu yang didorong minat mendalam terutama melibatkan zaman prasejarah hingga kini.
Diiringi minat dan teruja, dia memilih untuk mengikuti pengajian Arkeologi sebagai kursus minornya di USM, apatah lagi hanya universiti itu menawarkan kursus tersebut kepada mahasiswa ijazah sarjana muda di bawah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG).
Berkongsi pengalaman sepanjang menuntut ilmu arkeologi, Muhammad Rushidi, 24, mengakui sangat bertuah kerana bukan sahaja dapat mengikuti pengajian yang tidak terbuka kepada semua mahasiswa tetapi juga berpeluang menyertai ekskavasi (penggalian) selama 14 hari di Lembah Lenggong, Perak.
“Ekskavasi merupakan satu aktiviti dalam pengajian arkeologi yang memerlukan setiap mahasiswa turun padang dan melakukan sendiri projek cari gali mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Walaupun ia proses yang rumit, kompleks, teliti yang memerlukan latihan, kesabaran dan komitmen masa serta kewangan tinggi, namun pengalaman sepanjang dua minggu tidak boleh didapati di mana-mana tempat,” katanya kepada Sinar Bestari.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, pembelajaran terutamanya melibatkan bidang sejarah tersebut secara teori tidak mencukupi buat mahasiswa sepertinya untuk mendalami dan memahami setiap topik yang diajar.
Dengan peluang yang diberi melalui ekskavasi ini, dia secara tidak langsung belajar perkara baharu secara amali yang sedikit sebanyak meningkatkan ilmu pengetahuan melibatkan kajian terdahulu bermula dari zaman prasejarah, protosejarah dan sejarah.
“Semasa ekskavasi, saya dan rakan lain diberi latihan komprehensif daripada pakar-pakar Arkeologi serta diberi panduan sebelum turun ke tapak.
“Kami diberi tunjuk ajar menerusi prosedur bermula daripada survei, permetaan, ekskavasi dan analisis, selain berpeluang melawat beberapa gua antaranya Gua Kajang, Gua Teluk Kelawar, dan Gua Harimau di Lenggong, Perak,” katanya lagi.
Ujar Muhammad Rushidi, walaupun tidak menjumpai sebarang artifak lama sewaktu menjalani ekskavasi itu, akan tetapi ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendalami ilmu melibatkan sejarah masa lalu.
Malah jelasnya, sebagai seorang mahasiswa yang sering dihujani dengan tanda tanya dalam bidang sejarah ini, sudah menjadi kewajipan untuknya agar terus bersemangat menuntut ilmu dan mencari seberapa banyak pengalaman baharu.
APA KATA MEREKA
"Sebagai bekas penuntut kursus Arkeologi USM, ia agak mencabar pada awalnya tetapi menjadi sangat menarik dan mengujakan apabila sampai ke bahagian ekskavasi di tapak bersejarah. Kursus ini juga sangat bagus kerana mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara nila-nilai bersejarah, fizik artifak dan tapak atau tempat menerusi konservasi yang dijalankan.”
- Ummu Fatihah Adnan, 25
"Mengikuti pengajian Antropologi dan Sosiologi, bagi saya penting agar kita tahu mengenai sejarah tamadun manusia untuk lebih menghargai kehidupan dan pembangunan yang ada sekarang. Sebagai bekas penuntut kursus ini di Universiti Malaya (UM), saya turut percaya bidang tersebut adalah salah satu cara untuk mempelajari sejarah lepas dan masa akan datang.”
- Farra Nabilla Mokhlis, 25