

Cita-cita jadi penganalisis ekonomi, anak pemandu lori terpilih ke UUM
Seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri diterima masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan kepujian.
Anak kedua daripada tiga beradik itu, Fatin Syazwani Rosmadi, 20, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini.
Kejayaan itu berjaya membuka ruang dan peluang untuknya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Fatin Syazwani berkata, universiti tempatan tersebut menjadi pilihan keempat ketika permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) dilakukan sekali gus menepati cita-cita dan minatnya untuk menjadi seorang penganalisis ekonomi.
“Saya tertarik dengan suasana pembelajaran di UUM yang lengkap dengan kemudahan dan persekitaran kondusif.
“Harapan saya, pengalaman ini menjadi landasan untuk membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Meskipun Fatin Syazwani datang daripada keluarga yang sederhana, namun semangatnya untuk berjaya tidak pernah luntur.
Bapanya, Rosmadi Awang, bekerja sebagai pemandu dengan pendapatan kira-kira RM1,600 sebulan, manakala ibunya, Rohaya Endut, seorang suri rumah.

Selain itu, Fatin Syazwani memaklumkan bahawa UUM bukan sahaja menekankan akademik tetapi juga pembangunan sahsiah pelajar antara yang sangat dihargai.
Bukan itu sahaja, pihak UUM yang diketuai Naib Canselor, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan hadir ke kediaman keluarga Fatin Syazwani di Kampung Pak Katak, Kuala Nerus, Terengganu.
Ia bertujuan untuk menyerahkan bantuan keperluan dapur, sumbangan kewangan dan surat tawaran rasmi.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak UUM kerana sudi datang ke rumah kami.
“Bantuan ini amat bermakna buat saya dan keluarga sekali gus menjadi pembakar semangat untuk saya terus belajar bersungguh-sungguh,” katanya.