Muhammad Saniy Samsudin dipilih sebagai salah seorang pemimpin muda Asia Tenggara, Felo Akademik di University of Texas.
Muhammad Saniy Samsudin dipilih sebagai salah seorang pemimpin muda Asia Tenggara, Felo Akademik di University of Texas.

Dipilih sebagai Felo Akademik di University of Texas, Muhammad Saniy bawa nama UUM ke persada dunia

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
01 Jun 2023 11:21am

Bakat kepemimpinan dan kecemerlangan akademik yang terserlah sepanjang bergelar mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) membolehkan Muhammad Saniy Samsudin dipilih sebagai salah seorang pemimpin muda Asia Tenggara, Felo Akademik di University of Texas.

Merupakan mahasiswa tahun akhir dalam Sarjana Muda Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Muhammad Saniy telah diberi peluang menyertai program Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) selama setahun.

Muhammad Saniy
Muhammad Saniy



Menurutnya, peluang keemasan itu diibaratkan sebagai batu loncatan untuk dia terus melebarkan sayap dalam bidang kepimpinan di persada dunia.

“Alhamdulillah, terima kasih di atas pelantikan ini dan saya ingin mengucapkan syukur serta terima kasih kepada Naib Canselor, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, dekan, pensyarah, Pengetua Inapan Siswa yang sentiasa menyokong dan memberikan semangat.

“Setakat ini, pengurusan visa, pasport, tarikh penerbangangan serta beberapa perkara lain telah saya selesaikan ketika menghadiri taklimat di kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Syukur saya ke hadrat ALLAH S.W.T kerana segala perbelanjaan dan tiket penerbangan akan dibiayai sepenuhnya Jabatan Negara Amerika Syarikat di bawah YSEALI,” ujarnya.

Program Felo Akademik YSEALI ini bertujuan memupuk satu rangkaian serantau belia ASEAN untuk bekerjasama dalam menyelesaikan cabaran bersama dan mencipta peluang baharu.

Artikel Berkaitan:

Semasa di sana nanti, Muhammad Saniy berpeluang berbincang dan mengkaji perkembangan, sejarah, cabaran dan kejayaan perusahaan di peringkat global bersama pemimpin belia dari Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan turut gembira dengan pemilihan Muhammad Saniy dan berharap dia dapat memanfaatkan pendedahan di peringkat global itu untuk kebaikan negara suatu hari nanti.

Beliau berkata, peluang yang diberikan kepada mahasiswa UUM diperingkat antarabangsa ini membuktikan pelajar dari kampus itu sentiasa ke hadapan baik diperingkat akademik mahu pun untuk berkongsi idea inovatif dalam bidang keusahawanan sosial dan pembangunan ekonomi.

“Pemilihan ini agak sengit tetapi Muhammad Saniy berjaya terpilih selepas melalui saringan yang agak ketat dan saya yakin beliau mampu menunjukkan kelebihan UUM berbanding dengan institusi lain di seluruh dunia.

“Walaupun UUM berada jauh ke utara Semenanjung tetapi keupayaan mahasiswa UUM untuk muncul cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sangat membanggakan seluruh keluarga besar UUM,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp