Perjuangan Mohamad Saufee dalam menuntut ilmu wajar dijadikan inspirasi anak-anak muda masa kini.
Perjuangan Mohamad Saufee dalam menuntut ilmu wajar dijadikan inspirasi anak-anak muda masa kini.

Dulu penjual burger jalanan, sekarang sedang ‘memburu’ PhD! ‘Inilah anak Melayu yang tidak pernah kenal putus asa’

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
25 Nov 2024 08:15pm

Kejayaan bukan tentang tiba di puncak tetapi ia mengenai perjuangan seseorang sepanjang melalui liku-liku untuk sampai ke sana.

Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohamad Saufee Anuar misalnya, telah memilih untuk menjual burger di jalanan sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Walaupun berniaga, beliau berjaya membuktikan yang dirinya juga mampu berjaya seperti orang lain.

Mohamad Saufee berkata, ketika menjual burger, dia memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Alhamdulillah, ALLAH makbulkan doa saya untuk sambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UTM. Saya bersyukur sangat," ujarnya.

Berkongsi tentang permulaannya menjual burger, Mohamad Saufee berkata, ia bermula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kawan-kawan lain semua ke pusat pengajian tinggi, tapi saya tidak sebaliknya memilih untuk berniaga.

"Kemudian, saya kumpul duit dan sambung belajar di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sekali gus memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Perniagaan Antarabangsa pada tahun 2014," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tamat Ijazah Sarjana Muda, Mohamad Saufee berkata, dia telah bekerja di beberapa syarikat terkemuka di Pulau Pinang dan Johor sebelum memutuskan untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Falsafah dalam Pengurusan di UTM yang berakhir baru sahaja berakhir bulan ini.

No Image Caption

INFO

Mohamad Saufee merupakan penerima Anugerah Penyelidik Muda 2024 dari Yayasan Waqaf Malaysia.

Beliau aktif dalam bidang pemasaran profesional sekali gus menerima sijil Certified Professional Marketers (CPM Asia) dari Institut Marketing Malaysia (IMM) pada 2021 dan ICDL Profile Certificate dalam Digital Marketing oleh ICDL Asia pada 2023.

Bukan itu sahaja, Mohamad Saufee turut dikenali dalam kalangan ahli akademik sebagai perunding wakaf, terlibat dalam projek pembangunan model takaful wakaf di beberapa universiti dan pernah berkhidmat sebagai perunding bebas wakaf di Indonesia.

Beliau juga aktif menerbitkan artikel berkenaan tanggungjawab korporat dan wakaf serta sering dijemput sebagai pensyarah jemputan di beberapa universiti sekitar Johor Bahru.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp