Kira-kira 100 murid prasekolah tadika Amazing Seed Malaysia mengikuti 3R STEM@JPK di UKM.
Kira-kira 100 murid prasekolah tadika Amazing Seed Malaysia mengikuti 3R STEM@JPK di UKM.

Gabungan STEM, al-Quran dan sunnah menerusi 3R STEM@JPK. Unik!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Apr 2023 04:45pm

Program berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sentiasa dianjurkan kepada generasi muda dalam usaha memupuk minat dan mencungkil bakat serta kemampuan mereka kepada STEM.

Terbaharu, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan program 3R STEM@JPK kepada 100 murid prasekolah dari tadika Amazing Seed Malaysia bagi mengintegrasikan STEM dengan pendidikan al-Quran dan sunnah.

Terdapat tiga modul yang telah dijalankan dalam program tersebut iaitu Shapes and Me bersama Dr Haliza Othman, Inno-Math Rocket Activity bersama Dr Noorhelyna Razali dan aktiviti Roll to Jannah yang dikendalikan Dr Mohd Haniff Osman.

3R STEM@JPK yang diadakan di UKM menyediakan aktiviti menarik seperti mengenali bentuk asas geometri, proses reka bentuk kejuruteraan menggunakan bahan terbuang seperti kertas dan botol terpakai serta pendedahan kepada kepentingan geseran dalam kehidupan.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, Profesor Madya Ts Dr Siti Aminah Osman, generasi muda merupakan tunggak utama negara dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Ini bermakna, mereka harus didedahkan pada peringkat awal persekolahan mengenai kepentingan ilmu STEM.

Sementara itu, wakil dari Amazing Seed Malaysia yang menjadi rakan kerjasama 3R STEM@JPK, Siti Farihan berkata, pembentukan akhlak dan iman adalah teras utama dalam menyediakan generasi muda menghadapi cabaran IR 4.0.

“Dengan pengintegrasian STEM bersama al-Quran dan sunnah, maka golongan muda ini akan lebih seimbang dalam ilmu STEM dan ilmu agama.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya berharap 3R STEM@JPK dapat melahirkan modal insan atau khalifah yang mahir dalam bidang teknologi masa hadapan yang menjadi teras dalam IR4.0,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siti Farihan berkata, nisbah jurutera kepada populasi rakyat ketika ini hanya 1:170 berbanding negara maju lain.

“Saya yakin, kita mampu menghasilkan individu hebat dalam STEM sekiranya program sebegini diadakan lebih kerap bersama komuniti.

“Oleh itu, saya berharap aktiviti bermanfaat ini akan terus diadakan sekaligus melahirkan lebih ramai jurutera-jurutera hebat seiring dengan negara-negara maju lain,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp