AZIZI
AZIZI

Ilmu ketenteraan latih jadi cekal dan sabar - Laksda Dr Azizi

14 Nov 2024 08:00am

“Cabaran bukan halangan, ilmu ketenteraan banyak mengajar saya untuk tidak mudah berputus asa. Saya diajar supaya sentiasa mengutamakan pelaksanaan tugas dan berusaha sedaya upaya mencapai objektif tanpa gagal.

“Saya dilatih supaya sentiasa berfikiran positif terhadap sesuatu perkara dan sekiranya ia baik untuk kemajuan dan pembangunan diri, maka saya perlu habiskan pengajian ini dengan sempurna,” kata graduan Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi, Operasi dan Pengurusan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizi Ahmad Sarkawi.

Azizi juga merupakan Asisten Ketua Staf Materiel, Laksamana Muda Dr Azizi Ahmad Sarkawi yang berpengalaman selama 31 tahun dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pro-Canselor UUM, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menyampaikan ijazah PhD kepada beliau pada Majlis Konvokesyen ke-37, Universiti Utara Malaysia, Selasa.

Azizi mengakui bukan mudah untuk berada di tahap ini kerana perjuangannya mengejar ilmu menuntut pengorbanan yang tinggi.

Jelasnya, ilmu ketenteraan mengajarnya supaya sentiasa patuh kepada arahan yang diberi.

“Atas dasar pengarahan yang diberi, saya patuh dan menjadi kewajipan saya untuk habiskan pengajian saya.

"Sebagai warga tentera, saya perlu mengutamakan tugasan di samping kekangan dan keadaan tidak menentu tetapi itu bukan suatu halangan demi mencapai ilmu.

Artikel Berkaitan:

“Saya menempuh perjalanan yang sangat jauh sepanjang pengajian 9 tahun walaupun pengajian secara separuh masa, sebagai pemimpin saya hendaklah menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anggota dan pegawai bawahan bahawa setiap manusia dan pemimpin boleh berjaya walau sebesar mana pun cabaran dan dugaan.

“Faktor umur memberi cabaran untuk menyesuaikan kaedah pembelajaran. Sekarang kena berfikir pantas dan tidak boleh selesa dengan kaedah lama, jadi kita kena cari kaedah terbaik untuk capai ilmu dengan cepat dan tepat dan segala kepayahan terbalas pada hari ini,” ujarnya.

Graduan meraikan kejayaan pada Majlis Konvokesyen ke-37, UUM pada Selasa.
Graduan meraikan kejayaan pada Majlis Konvokesyen ke-37, UUM pada Selasa.

Azizi berkata lagi, ilmu merupakan suatu yang penting dan perlu ada pada setiap insan terutamanya apabila bekerja dalam suasana bercampur baur dengan pelbagai masalah dan kemelut.

“Jadi untuk memimpin dan bekerja dalam suasana itu kita perlu ada ilmu yang banyak sebagai jalan keluar untuk mengendali dan memahami situasi dengan sebaik-baiknya,” ujar bapa kepada lima anak.

Beliau selalu berpesan kepada anak-anak supaya tidak mudah putus asa, tanpa kenal erti jemu untuk sentiasa mencari ilmu yang baik disertakan dengan reda ALLAH.

“ALLAH dan Rasul menyuruh kita mencari ilmu dengan sebanyaknya. Saya sentiasa percaya kembara mencari ilmu tidak pernah merugikan manusia malahan amat menguntungkan di dunia dan akhirat.

“Sebagai orang Islam sumber yang digunakan untuk mencari ilmu perlu halal supaya ilmu itu berkat dan terpahat lama dalam diri kita seterusnya membawa manfaat kepada organisasi dan negara,” ujarnya.

Beliau bersyukur kerana pucuk pimpinan ATM sentiasa menggalakkan staf dalam pembelajaran sepanjang hayat, kita tidak pernah membatasi sesiapa, setiap lapisan pangkat diberi peluang saksama sekali gus menyumbang kepada prospek kerjaya.

“Banyak perkara yang saya bawa dalam organisasi berpunca dari ilmu yang saya belajar dari UUM jadi jangan pernah berhenti belajar kerana pembelajaran adalah proses yang berterusan,” tambahnya.

Untuk rekod, Azizi memulakan kerjaya dalam TLDM sebagai Pegawai Kadet dalam kepakaran Cawangan Bekalan dan Urusetia selain pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Staf 2 Rancang A 5 CTK – A dan Panglima Logistik Timur.

Kini, beliau bertanggungjawab terus kepada Panglima Tentera Laut terhadap pelaksanaan tugas seperti memantau prestasi jabatan di bawah Program Pertahanan Maritim dan menguruskan peruntukan kewangan untuk aktiviti logistik seperti senggaraan, bekalan alat ganti untuk semua kapal, bot dan keperluan unit pangkalan TLDM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp