Bimbang dengan gelembung aset di China?
Pada beberapa dekad yang lalu, sektor hartanah telah menjadi faktor utama dalam keajaiban ekonomi China.
Bagaimanapun, apabila ledakan gelembung aset meletup ia menyebabkan berlakunya gangguan kepada ekonomi China dan juga global.
China sedang menghadapi kejatuhan hartanah di mana mengikut statistik, sebanyak 65 juta lebihan rumah kosong, permintaan hartanah menjunam, kejatuhan harga rumah dan pemaju hartanah tenggelam di dalam timbunan hutang kerana risiko yang telah diambil mereka akibat permintaan tinggi pada tahun sebelumnya iaitu sekitar2015.
Peluang yang wujud akibat permintaan hartanah ketika itu telah menggalakkan pemaju hartanah mula menjual rumah kepada masyarakat berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun sebelum mereka membinanya lagi.
Akibatnya, syarikat Evergrande telah mengalami kebankrapan diikuti syarikat Country Garden yang juga mempunyai projek di Johor, Malaysia.
Projek Forest City milik syarikat hartanah, Country Garden telah menggugat projek tersebut susulan kegagalan membuat pembayaran faedah hutang kepada pemegang beberapa bon dan kemungkinan akan berdepan dengan masalah kewangan jika prestasi kewangan syarikat terus merosot akan datang.
Perkara ini juga telah membawa kerisauan kepada masyarakat Malaysia kerana bimbang akan berlakunya lambakan perumahan kosong seperti yang berlaku di China dan kemusnahan terhadap alam sekitar akibat aktiviti pembinaan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa perkara yang dapat menggugat ekonomi utama lain di seluruh dunia akibat sektor hartanah semakin merosot di China.
Kejatuhan kebanyakan pemaju hartanah utama di China akan melambatkan pengembangan ekonomi China dalam jangka pendek dan sederhana kerana sektor tersebut membentuk 25 hingga 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) China.
Oleh itu, kemerosotan hartanah yang berlarutan menjadi pendapatan lebih lemah hingga menyebabkan permintaan import jatuh yang akhirnya menjejaskan pendapatan eksport ekonomi utama seperti Australia, Korea, Jerman dan Brazil yang bergantung kepada aliran perdagangan China.
Begitu juga dengan beberapa negara di Asia Tenggara yang terjejas dengan kejatuhan dalam permintaan hasil bumi seperti minyak sawit dan getah ke negara China.
Selain itu, China telah menjadi sumber pelancongan dan pelaburan langsung asing yang penting bagi banyak ekonomi negara di Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2019 sahaja, hampir tiga juta pelancong dari China telah menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama bersama-sama dengan Thailand dan Singapura.
Pada masa sama, pelaburan langsung asing yang dibuat China melonjak dan telah mengalir ke dalam aset hartanah, infrastruktur dan pembuatan negara-negara Asia Tenggara yang terlibat.
Oleh itu, krisis sektor hartanah di China dan kemerosotan ekonomi dengan ketara menghakis kekayaan dan pendapatan isi rumah China.
Kehilangan simpanan peribadi dan ekuiti daripada kemerosotan perumahan ditambah pula dengan pertumbuhan pekerjaan dan upah yang lebih perlahan, mengurangkan kapasiti untuk perbelanjaan pelancongan dan pelaburan utama.
Ini akan diterjemahkan kepada penurunan ketara dalam resit pelancongan China di dalam negara dan pembelian hartanah di seluruh ASEAN.
Dengan pelancong dan pelabur China pemacu utama pendapatan pertukaran asing dan kenaikan harga aset dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketiadaan mereka akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan dan kestabilan negara ASEAN.
Kehilangan pertumbuhan luaran ini akan memberi kesan besar kepada negara ASEAN serta kepada pemandu domestik yang juga bergelut daripada kesan ekonomi pandemik.
Maklumat Penulis
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Sofea Aliah Mahpiz
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my