Industri akuakultur dan perikanan menjadi semakin kritikal dengan keadaan persekitaran yang tidak menentu. Gambar kecil: Nur Zahirah,
Industri akuakultur dan perikanan menjadi semakin kritikal dengan keadaan persekitaran yang tidak menentu. Gambar kecil: Nur Zahirah,

Cabaran industri akuakultur dan perikanan

NUR ZAHIRAH ZULKFLI DAN JAHARUDIN PADLI
16 Feb 2024 03:56pm
A
A
A

Malaysia menghadapi ancaman serius berhubung bencana air yang disebabkan perubahan iklim.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan manusia malah industri akuakultur dan perikanan turut terkesan secara signifikan di negara ini.

Industri akuakultur dan perikanan menjadi semakin kritikal dengan keadaan persekitaran yang tidak menentu menyebabkan suhu air kian meningkat dan cuaca tidak stabil.

Industri akuakultur yang merupakan antara sektor penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia, kini berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya perubahan iklim.

Cabaran ini memberi kesan buruk kepada kemenjadian dan kelangsungan pertumbuhan akuakultur.

Kenaikan suhu air juga meningkatkan risiko penyakit dan mengancam kestabilan populasi ikan.

Kejadian banjir dan kekurangan bekalan air bersih turut menyukarkan operasi akuakultur.

Banjir mampu merosakkan infrastruktur dan menyebabkan kehilangan stok ikan.

Artikel Berkaitan:

Manakala kekurangan bekalan air bersih pula mengganggu proses pemeliharaan dan pertumbuhan ikan sekali gus membawa kepada kualiti hasil yang semakin tidak bermutu.

Sementara itu, sektor perikanan juga terjejas akibat perubahan iklim.

Kenaikan suhu air menyebabkan kepupusan habitat ikan dan penurunan dalam kadar populasi ikan.

Pencemaran air dan peningkatan kadar asid dalam air juga memberi kesan kepada reproduksi dan pertumbuhan spesies ikan.

Oleh hal demikian, industri akuakultur perlu mengambil langkah-langkah proaktif dalam menyesuaikan operasi mereka dengan perubahan iklim.

Penggunaan teknologi pintar seperti sistem pemantauan suhu air dan amalan akuakultur mampan dapat membantu meningkatkan kecekapan dan kelangsungan industri.

Pihak berkuasa dan pengusaha akuakultur juga perlu bekerjasama dalam membangunkan strategi yang berkesan.

Ini termasuk pemantauan cuaca secara berterusan, penyediaan sistem amaran awal dan tambahan kapasiti untuk menangani keadaan darurat seperti banjir.

Dalam pada itu, penyelidikan dan pembangunan dalam bidang akuakultur juga perlu diberi tumpuan untuk mencari penyelesaian inovatif.

Sebagai contoh, inovatif biologi dalam penciptaan spesies ikan baharu yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan juga pembangunan sistem akuakultur yang lebih lestari adalah kunci penyelesaian dalam menghadapi cabaran ini.

Kesimpulannya, bencana air akibat perubahan iklim membawa cabaran serius bukan sahaja terhadap sektor industri akuakultur dan perikanan malah seluruh sektor ekonomi di Malaysia.

Usaha bersama antara pihak berkuasa, pengusaha dan penyelidik adalah penting untuk menangani isu ini secara efektif bagi menjaga kelestarian sektor untuk jangka masa panjang.

Maklumat penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Zahirah Zulkfli

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok