Kehidupan seharian akan berubah kerana kemurungan menghalang seseorang mengurus diri dengan baik.Gambar kecil: Nur Irlia Afrina.
Kehidupan seharian akan berubah kerana kemurungan menghalang seseorang mengurus diri dengan baik.Gambar kecil: Nur Irlia Afrina.

Cara atasi kemurungan

16 Jan 2024 05:51pm

Kemurungan ialah sejenis gangguan mental yang diklasifikasikan sebagai perasaan sedih yang teramat sangat.

Pesakit kemurungan biasanya mempunyai persepsi bahawa mereka tidak berguna dan bersalah dalam pelbagai perkara.

Malah, kehidupan seharian akan berubah kerana penyakit ini menghalang seseorang mengurus diri sendiri dengan baik.

Kebarangkalian hubungan bersama rakan taulan mahupun ahli keluarga juga boleh terjejas disebabkan gangguan kemurungan.

Dalam perubatan, kemurungan juga dikenali sebagai depression disorder atau kemurungan klinikal. Ia adalah penyakit sebenar, bukan tanda kelemahan atau kecacatan.

Kebanyakan rakyat Malaysia yang mengalami kemurungan disebabkan beberapa faktor umum seperti berhadapan cabaran di tempat kerja, ketidakupayaan mengendalikan stres, menghadapi masalah dengan anggota keluarga dan sebagainya.

Satu pertiga daripada rakyat Malaysia lingkungan usia 16 tahun dan ke atas menghadapi masalah kesihatan mental.

Menurut salah sebuah data di negara ini, tingkah laku bunuh diri turut dikaitkan dengan masalah kesihatan mental dengan 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 dan 631 kes pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Jumlah kes 2021 meningkat sebanyak 81 peratus berbanding 2020.

Kadar bunuh diri menunjukkan kebimbangan, lebih-lebih lagi kanak-kanak kini menjadi mangsa masalah kesihatan mental.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 424,000 kanak-kanak di Malaysia mempunyai masalah mental.

UNICEF pula melaporkan 12.3 peratus remaja berumur 10 hingga 17 tahun, tinggal di salah sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) mengalami masalah kesihatan mental dan mempunyai kecenderungan membunuh diri.

Remaja mula mengalami kemurungan di peringkat remaja awal atau di sekolah rendah dan ia terjadi disebabkan beberapa perkara. Sebagai contoh, mengalami kemurungan sama seperti kehilangan ayah atau ibu akibat perceraian atau mati.

Remaja kemurungan pada pendidikan rendah akan memberi kesan ke atas isu serupa pada peringkat kedua-dua remaja dan orang dewasa (Fariza Md Sham, 2019).

Dalam perkembangan sama, mengambil pelbagai strategi holistik adalah penting untuk mengatasi kemurungan di Malaysia.

Pertama sekali, program pendidikan dan kesedaran awal perlu dilaksanakan di sekolah, tempat kerja dan tempat awam seperti balai raya, pusat komuniti setempat mahupun di pusat-pusat membeli belah bagi meningkatkan pemahaman dan kepentingan kesihatan mental.

Kedua, keperluan khidmat kaunseling dan rawatan mental diperkasa dan diperluas supaya mudah diakses masyarakat.

Ketiga, untuk memastikan individu yang mengalami kemurungan mendapat bantuan mencukupi, program keluarga dan komuniti perlu diperkukuh.

Akhir sekali, dengan kerjasama pelbagai pihak, perkara tersebut mungkin dapat mengurangkan stigma, meningkatkan kesedaran dan menyediakan sokongan diperlukan untuk mengatasi serta mencegah kemurungan di negara ini.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nur Irlia Afrina Mohamad Sabaru dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp