
Cuti sekolah: Jangan biarkan anak terperangkap dalam gaya hidup pasif
Cuti sekolah yang panjang sering dilihat sebagai masa anak-anak berehat dan menikmati kebebasan daripada rutin harian.
Namun, tempoh inilah sebenarnya memainkan peranan penting dalam proses tumbesaran mereka, apabila tubuh dan sistem hormon sedang aktif berkembang.
Jika cuti diisi dengan terlalu banyak aktiviti pasif seperti penggunaan gajet tanpa kawalan, tidur tidak teratur dan pemakanan kurang sihat, keseimbangan tubuh anak boleh terjejas tanpa disedari.
Oleh itu, ibu bapa wajar melihat cuti sekolah bukan sekadar waktu berehat, tetapi sebagai peluang berharga untuk membentuk gaya hidup anak yang lebih sihat, aktif dan seimbang demi kesejahteraan mereka.
Dari sudut tumbesaran, tubuh kanak-kanak sebenarnya sedang bekerja keras walaupun mereka kelihatan hanya bermain dan berehat.
Pada peringkat ini, beberapa hormon penting seperti hormon pertumbuhan, hormon tiroid dan hormon seks berperanan besar dalam membentuk tulang, otot, perkembangan otak serta fungsi organ.
Hormon pertumbuhan, misalnya, paling aktif dirembeskan ketika anak tidur nyenyak pada waktu malam dan membantu proses pembesaran serta pembaikan tisu badan.
Hormon tiroid pula berfungsi mengawal penggunaan tenaga dan menyokong perkembangan otak, manakala hormon seks mula mempengaruhi kekuatan tulang dan perubahan fizikal apabila anak menghampiri usia remaja.
Justeru, rutin harian yang tidak seimbang seperti tidur lewat, kurang bergerak dan terlalu lama di hadapan skrin boleh mengganggu proses semula jadi ini tanpa disedari oleh ibu bapa.
Aktiviti fizikal, pendedahan kepada cahaya matahari, interaksi sosial dan tidur yang mencukupi merupakan faktor utama yang boleh merangsang pengeluaran hormon-hormon ini secara optimum.

Walaubagaimanapun, jika sebaliknya, gaya hidup sedentari dan pasif seperti penggunaan gajet berlebihan dan kekurangan aktiviti fizikal boleh menyebabkan penurunan rangsangan fisiologi terhadap sistem endokrin.
Hal ini boleh terjadi contohnya apabila kanak-kanak menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin telefon, televisyen, komputer ataupun laptop, keadaan ini boleh menyebabkan rangsangan fizikal dan deria kanak-kanak tersebut menjadi terhad, seterusnya mengurangkan pengaktifan isyarat biologi yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan normal kanak-kanak.
Secara fisiologinya, penggunaan gajet yang berlebihan boleh menyebabkan gangguan terhadap pola tidur kanak-kanak dan boleh menggangu ritma Circadian atau jam biologi badannya.
Pendedahan kepada cahaya biru daripada skrin telefon pintar, tablet dan komputer boleh menghalang rembesan hormon melatonin, iaitu hormon yang mengawal kitaran tidur dan jaga seseorang.
Hormon melatonin biasanya dirembeskan pada waktu malam untuk membantu tubuh memasuki fasa tidur nyenyak, yang mana ianya penting bagi proses pembaikan sel dan rembesan hormon pertumbuhan.
Apabila pola tidur ini terganggu, rembesan hormon pertumbuhan menjadi tidak optimum dan akan direncat, sekali gus menjejaskan perkembangan fizikal, daya tumpuan, dan sistem imun kanak-kanak.
Implikasinya terhadap kanak-kanak dalam jangka panjang apabila kekurangan tidur boleh meningkatkan risiko mengalami masalah metabolik seperti obesiti, kerintangan terhadap insulin, diabetes dan sebagainya yang semakin meningkat akibat gaya hidup pasif dan pemakanan tidak seimbang.
Selain itu, tidur lewat akibat aktiviti skrin boleh mengganggu emosi kanak-kanak dan menjejaskan keseimbangan hormon, menyebabkan mereka mudah marah, cemas, tantrum dan sukar mengawal emosi.
Selain hormon melatonin, penggunaan gajet dan aktiviti skrin yang berpanjangan juga dikaitkan dengan peningkatan hormon stress iaitu hormon kortisol.
Permainan video yang kompetitif, kandungan media sosial yang merangsang emosi, serta tekanan visual dan kognitif yang berpanjangan boleh mencetuskan tindak balas stress yang kronik dalam badan kanak-kanak.
Paras kortisol yang tinggi secara berpanjangan ini bukan Sahaja boleh memberi kesan negatif terhadap sistem keimunan, malahan turut mengganggu keseimbangan glukosa darah dan menjejaskan perkembangan otak, khususnya bahagian yang terlibat dalam kawalan emosi dan fungsi eksekutif seperti keupayaan merancang, membuat keputusan dan mengawal tingkah laku.
Dari perspektif fisiologi, pendedahan stres kronik pada usia muda boleh mempengaruhi kesihatan jangka panjang seseorang individu.
Sebaliknya, pengisian cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah seperti aktiviti aktif fizikal, sukan, permainan luar, dan aktiviti kreatif memberi kesan positif yang sangat ketara terhadap sistem fisiologi kanak-kanak.
Ini kerana aktiviti fizikal akan merangsang pengeluaran hormon endorfin, iaitu hormon yang meningkatkan rasa gembira, teruja dan meningkatkan keseronokan.
Selain itu, hormon ini juga membantu dalam meningkatkan kesihatan kardiovaskular dan pertumbuhan otot.
Pendedahan kepada cahaya matahari semasa aktiviti fizikal di luar pula membantu dalam proses sintesis vitamin D, yang penting untuk kesihatan tulang dan fungsi imun.
Kesemua faktor ini akan bekerjasama dalam satu sinergi yang lengkap dan saling memerlukan untuk memastikan persekitaran dalaman badan seimbang secara homeostasis serta berada pada tahap yang optimum.
Dalam pada itu juga, kesihatan kanak-kanak ini juga boleh ditingkatkan secara interaksi sosial dan bersemuka.
Ia juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan hormon kanak-kanak.
Penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti berkumpulan seperti kem motivasi, kerja sukarela, dan permainan sukan aktif dan tradisional boleh merangsang pengeluaran hormon oksitosin, iaitu hormon yang berkaitan dengan ikatan sosial dan perasaan selamat.
Hormon oksitosin membantu mengurangkan kesan hormon kortisol yang tinggi akibat stress dan seterusnya oksitosin akan menyokong kesihatan emosi.
Dari sudut fisiologi saraf, interaksi sosial yang sihat dapat menyumbang kepada pembentukan rangkaian neural dan jaringan saraf yang penting untuk empati, komunikasi dan kawalan emosi.
Penggantian interaksi bersemuka ini dengan komunikasi digital semata-mata boleh mengehadkan perkembangan fisiologi dan perkembangan neuropsikologi kanak-kanak.
Walaubagaimanapun, penggunaan gajet tidak sepenuhnya bersifat negatif.
Penggunaan gajet secara terkawal dan berstruktur boleh menyokong pembelajaran kognitif dan pendedahan kepada maklumat baharu pada kanak-kanak.
Masalah timbul apabila penggunaan gajet menjadi berlebihan dan menggantikan keperluan fisiologi asas seperti pergerakan, tidur dan interaksi sosial.
Oleh itu, pendekatan yang seimbang win win situation perlu diterapkan, di mana gajet digunakan sebagai alat sokongan pembelajaran dan mendapatkan maklumat penting yang berfaedah, bukan sebagai aktiviti utama sepanjang cuti sekolah.
Dari perspektif kesihatan badan pula, gaya hidup pasif semasa cuti sekolah boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan dan gangguan metabolik awal.
Apabila berkurangnya pergerakan fizikal, maka ianya boleh menyebabkan penggunaan tenaga yang rendah, kerana gula dalam badan tidak dihadam dengan baik, yang boleh mengundang kepada masalah tekanan darah tinggi, diabetes dan obesiti.
Manakala pendedahan kepada iklan makanan tidak sihat melalui gajet boleh mempengaruhi hormon selera makan seperti leptin dan ghrelin.
Ketidakseimbangan hormon ini boleh membawa kepada tabiat pemakanan berlebihan dan risiko obesiti kanak-kanak.
Leptin berfungsi mengawal rasa kenyang manakala ghrelin merangsang rasa lapar dan kedua-duanya penting dalam pengawalan selera makan serta keseimbangan tenaga.
Obesiti yang berlaku pada usia muda kanak-kanak bukan sahaja memberi kesan kepada struktur muskuloskeletal, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit kronik yang boleh menjejaskan masa hadapan kanak-kanak tersebut.
Kesimpulannya, kualiti cuti sekolah anak banyak bergantung kepada peranan ibu bapa dan penjaga dalam membimbing serta menetapkan hala tuju aktiviti harian mereka.
Tanpa perancangan yang jelas, anak mudah terperangkap dalam rutin pasif yang boleh menjejaskan kesihatan dan tumbesaran.
Jadual harian yang seimbang antara aktiviti fizikal, masa berehat, pembelajaran dan penggunaan gajet membantu tubuh anak berfungsi secara lebih sihat dan teratur.
Aktiviti ringkas seperti berbasikal, berkebun, membaca atau meneroka persekitaran bukan sekadar mengisi masa lapang, malah menyokong perkembangan hormon, emosi dan fizikal anak.
Lebih penting, ibu bapa perlu menjadi contoh melalui gaya hidup sihat, pemantauan yang konsisten dan penetapan had masa skrin yang jelas.
Jika dimanfaatkan dengan bijak, cuti sekolah bukan sekadar waktu rehat, tetapi peluang emas untuk membentuk asas kesihatan dan kesejahteraan anak dalam jangka panjang.
Maklumat penulis
Pensyarah Kanan (Fisiologi), Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, Dr Razif Dasiman
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my
Ringkasan AI
- Cuti sekolah yang panjang merupakan peluang berharga untuk membentuk gaya hidup sihat bagi anak-anak
- Hormon pertumbuhan, tiroid, dan hormon seks memainkan peranan penting dalam tumbesaran dan perkembangan anak
- Penggunaan gajet berlebihan boleh mengganggu keseimbangan pola tidur, rembesan hormon melatonin, dan menyebabkan gangguan ritma Circadian
- Aktiviti fizikal dan sosial serta tidur yang mencukupi meningkatkan pengeluaran hormon yang baik untuk pertumbuhan dan emosi anak
- Pemantauan ibu bapa dan penetapan jadual harian yang seimbang penting untuk memastikan perkembangan hormon, emosi, dan fizikal yang sihat bagi anak-anak