Sektor maritim Malaysia adalah aset strategik yang perlu dimanfaatkan secara optimum. Gambar kecil, Herza Hazwani (atas) dan Jaharudin (bawah)
Sektor maritim Malaysia adalah aset strategik yang perlu dimanfaatkan secara optimum. Gambar kecil, Herza Hazwani (atas) dan Jaharudin (bawah)

Ekonomi maritim, sumber kekayaan baharu negara

09 Jan 2025 12:00pm

Malaysia, sebagai sebuah negara maritim, memiliki kelebihan strategik yang unik dengan kedudukannya di antara dua laluan perkapalan penting dunia, iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Dengan garis pantai sepanjang lebih 4,800 kilometer dan pelabuhan bertaraf antarabangsa, potensi ekonomi maritim negara tidak dapat dinafikan.

Walau bagaimanapun, potensi besar ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam era globalisasi dan pemulihan pasca-pandemik, ekonomi maritim mampu menjadi pemacu utama pertumbuhan negara sekiranya pendekatan strategik diambil.

Sektor perikanan Malaysia merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Pada tahun 2022, sektor ini menyumbang 2.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan pengeluaran tahunan melebihi 1.7 juta tan metrik (Jabatan Perikanan Malaysia, 2022).

Namun, ancaman seperti penangkapan ikan berlebihan dan pencemaran marin menjejaskan kelestarian sektor ini.

Pelaburan dalam teknologi moden seperti akuakultur digital dapat memaksimumkan hasil tanpa merosakkan ekosistem.

Artikel Berkaitan:

Contohnya, penternakan ikan marin di Semporna, Sabah, telah membuktikan kejayaan menghasilkan eksport bernilai tinggi sambil mewujudkan peluang pekerjaan untuk komuniti setempat.

Keindahan pulau-pulau tropika Malaysia seperti Pulau Langkawi dan Pulau Perhentian menjadikan pelancongan maritim sebagai sektor yang berpotensi tinggi.

Aktiviti seperti selam skuba di taman laut atau pelayaran menggunakan bot solar menawarkan pengalaman unik dan lestari kepada pelancong.

Langkah ini bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi tetapi juga mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan hijau (WWF Malaysia, 2023).

Dengan keluasan lautan yang besar, Malaysia berpeluang memanfaatkan sumber tenaga seperti angin luar pesisir dan gelombang laut.

Kajian Universiti Malaysia Terengganu (2023) menunjukkan potensi Selat Melaka untuk tenaga gelombang mampu memenuhi keperluan komuniti pesisir pantai.

Pelaburan dalam teknologi tenaga hijau ini juga dapat mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, membuka peluang pekerjaan baharu dan menjadikan Malaysia peneraju teknologi tenaga marin di Asia Tenggara.

Pelabuhan utama Malaysia, seperti Port Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, memainkan peranan penting dalam perdagangan global.

Namun, pelaburan dalam teknologi seperti automasi pelabuhan dan kecerdasan buatan perlu dipercepatkan bagi memastikan daya saing Malaysia tidak terjejas.

Salah satu elemen penting yang perlu diberi perhatian adalah pendidikan dan latihan dalam sektor maritim.

Institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu dan Akademi Laut Malaysia memainkan peranan besar dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.

Program latihan khusus dalam pengurusan pelabuhan, teknologi tenaga hijau dan kajian kelestarian laut boleh memastikan negara mempunyai sumber manusia yang kompeten dan inovatif.

Selain itu, kerjasama antara universiti, sektor swasta serta kerajaan dalam penyelidikan maritim dapat mempercepatkan pembangunan teknologi baharu dan aplikasi praktikal yang menyokong pembangunan sektor ini.

Cabaran utama termasuk pencemaran laut dan kekurangan modal serta teknologi.

Kerajaan perlu menyediakan insentif seperti pengecualian cukai dan pembiayaan mudah untuk menarik pelaburan.

Kolaborasi antarabangsa juga penting untuk mengatasi jurang teknologi.

Kesimpulan, sektor maritim Malaysia adalah aset strategik yang perlu dimanfaatkan secara optimum.

Dengan pendekatan lestari, pelaburan strategik dan kerjasama pelbagai pihak, sektor ini mampu menjadi pemacu ekonomi negara sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Malaysia berpotensi mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa maritim yang disegani di peringkat global, sekali gus memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara yang mapan dan berdaya saing.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Herza Hazwani Hernawan

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp