Israel juga sedang mencuba menjadi salah satu daripada negara dalam Liga Arab. Gambar kecil: Munawwarah.
Israel juga sedang mencuba menjadi salah satu daripada negara dalam Liga Arab. Gambar kecil: Munawwarah.

Hikmah perang taufan Al-Aqsa

09 Jan 2024 07:00am

Kenapa Hamas begitu berani melancarkan serangan mati? Malah luar biasa juga rakyat Palestin bersedia menerima kesan dan akibatnya.

Adakah kalian pernah mendengar tentang Two State Solution (Penyelesaian Dua Negara)? Ia merujuk kepada dua bahagian dalam satu negara iaitu untuk warga Palestin dan bahagian orang Israel, tetapi sempadan itu sebenarnya mengelirukan kerana tanah yang diberikan buat penduduk Islam tersangatlah kecil.

Jika dilihat di peta, kita boleh katakan bahawa besar lagi Lembah Klang, Malaysia berbanding Gaza yang dihuni kira-kira 1.82 juta penduduk.

Pada masa yang sama, kita mungkin pernah mendengar apa yang disebut sebagai Deal of Century, 'safaqatul qurd' iaitu perjanjian abad ini.

Apa itu perjanjian abad ini? Ia merupakan satu projek baharu di mana Israel menyasarkan Semenanjung Gaza dikosongkan dan penduduk kesemuanya dipindahkan ke Sinai dengan persetujuan Mesir dan Mesir.

Mesir telah pun mendapatkan dana dari Korea, China dan beberapa negara lain untuk membangunkan infrastruktur di Sinai. Walaupun perkara itu telah berlaku, terdapat orang Gaza yang tidak mahu berpindah.

Dalam projek itu juga, sejumlah 61 peratus dari Tebing Barat akan diambil oleh Israel. Jadi apa yang akan tinggal untuk orang Palestin?

Projek seterusnya yang disebut 'tatbigh' (normalisasi). Ia bermaksud satu projek untuk menjadikan Israel sebagai negara diterima secara tabii oleh semua negara dunia.

Artikel Berkaitan:

Namun, masih banyak negara yang tidak boleh menerima Israel, contohnya Malaysia. Kita juga dapat lihat kebanyakan negara Arab tidak menempatkan kedutaan Israel.

Hal ini kerana, mereka tidak mahu membuat hubungan diplomatik bersama Israel, tetapi normalisasi maksudnya rejim Zionis meminta dan melobi supaya semua negara Arab menerima mereka sebagai negara rasmi.

Rentetan perkara itu, terdapat beberapa negara sudah mula menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Israel. Contohnya Mesir yang sebelum ini pernah berperang dengan rejim Zionis pada tahun 1956 dan 1973.

Namun selepas berlakunya perjanjian Kem David 1978, Mesir sudah meletakkan senjata dan mengambil pendekatan berdamai dengan puak rejim.

Perkara itu juga menjadi antara punca Anwar Sadat dibunuh oleh rakyatnya sendiri yang menganggap kerjasama itu sebagai pengkhianatan terbesar kepada orang-orang Mesir.

Terbaru Maghribi, Sudan, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengiktiraf Israel.

Walaupun Arab Saudi belum mengisytiharkan pengiktirafan itu, kerajaan tersebut dipercayai sedang mengadakan rundingan untuk mengiktiraf rejim.

Liga Arab

Sekiranya projek normalisasi itu berlaku, akan semakin banyak negara Islam menerima Israel secara rasmi dan menjalin hubungan diplomatik bersama mereka.

Kemungkinan Malaysia akan mewujudkan kedutaan Israel, namun itu masih belum berlaku. Tetapi ia semakin hampir berlaku disebabkan empat negara besar berkenaan sudah pun menerima kerjasama dengan rejim.

Terdapat juga satu perkembangan baharu di mana Israel sedang mencuba menjadi salah satu daripada negara dalam Liga Arab.

Kita sedia maklum bahawa Liga Arab tidak akan meluluskan Israel untuk turut serta disebabkan mereka adalah bangsa Yahudi.

Namun, ia akan menjadi lebih pelik sekiranya ada sebuah negara Yahudi berada dalam senarai Liga Arab.

Adapun begitu, Israel seakan hampir-hampir menjadikan perkara tersebut berlaku. Tambahan pula, dalam perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan bangganya mengemukakan peta baharu Israel di Tebing Barat Palestin.

Hal ini merupakan salah satu petunjuk bahawa isu panas iaitu Palestin akan 'mati' dan hilang dari peta dunia.

Jadi Hamas mengambil satu pertimbangan yang besar untuk menjadikan isu ini tidak mati dengan melaksanakan tindakan berani mati atau sebuah intervensi terhadap rejim Israel.

Maka itulah hikmah yang kita mampu rungkaikan di sebalik perang Taufan al-Aqsa yang berlaku sebelum ini.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Tahun 3, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Universiti Malaya, Munawwarah Mohd Zaidi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp