
Isu 'palau' di Sabah perlu diselesaikan demi kesejahteraan awam
Fenomena kehadiran kumpulan tidak berdokumen yang dikenali sebagai Palau di beberapa kawasan di Sabah semakin mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Mereka dilihat berkeliaran di lokasi tumpuan awam seperti pasar raya, bazar, tempat letak kereta dan jalan utama untuk meminta sedekah, sama ada bersendirian atau secara berkumpulan.
Situasi ini bukan sekadar mengganggu keselesaan penduduk, malah menimbulkan rasa takut dan ketidakselesaan, khususnya dalam kalangan wanita dan warga emas.
Kehadiran mereka yang semakin ketara sejak beberapa bulan lalu menimbulkan tekanan psikologi, apatah lagi apabila mereka mendekati orang awam dengan agresif, sering membawa kanak-kanak kecil dan menghampiri pelanggan secara berulang kali.
Palau lazimnya terdiri daripada individu, termasuk kanak-kanak, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah seperti MyKad, sijil kelahiran atau dokumen imigresen.
Ketiadaan identiti sah menyulitkan pengesanan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa, sekali gus menjadikan isu ini semakin kompleks.
Kumpulan ini bukan sahaja mencemarkan imej kawasan pelancongan dan perniagaan, malah mengundang kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam.
Selain berlegar-legar di hadapan premis, mereka juga dilaporkan mengekori pelanggan hingga ke kenderaan dan berulang kali meminta wang atau makanan.
Menyedari keseriusan isu ini, Kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan operasi bersepadu yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tindakan penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu di ibu negeri, malah diperluas ke kawasan seperti Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.
Anggaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menunjukkan bahawa jumlah Palau yang aktif di negeri ini mencecah sehingga 300 orang.
Ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan bersifat jangka pendek tidak lagi mencukupi, sebaliknya satu strategi menyeluruh perlu dirangka.
Walaupun aspek keselamatan menjadi keutamaan, isu ini turut memerlukan pendekatan kemanusiaan. Pendekatan holistik yang merangkumi pemetaan kumpulan sasaran, semakan status, pemulihan sosial dan penempatan semula perlu dipertimbang.
Golongan yang benar-benar memerlukan wajar dibantu melalui sistem kebajikan negara, manakala yang terlibat dalam sindiket atau aktiviti eksploitasi perlu dikenakan tindakan tegas.
Dalam pada itu, masyarakat juga disaran agar tidak memberi wang secara terus kepada peminta sedekah, sebaliknya menyalurkan bantuan melalui saluran rasmi seperti agensi kebajikan atau pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar.
Ini dapat mengelakkan berlakunya eksploitasi berterusan terhadap kanak-kanak dan golongan rentan.
Masalah Palau bukan sahaja mencerminkan kelemahan dari segi penguatkuasaan, malah menuntut kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, masyarakat awam dan badan bukan kerajaan.
Hanya melalui pendekatan inklusif dan berterusan, isu ini dapat dikawal dan akhirnya diselesaikan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Sabah dan imej negeri di mata umum.
Maklumat penulis:
1. Pelajar Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Eva Natasia Kadir
2. Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu USIM, Dr Afiqah Kamarul