Jejak bumi Makassar
Makassar, bandar raya yang terletak di timur Indonesia, sering kali dianggap sebagai sebuah permata yang tersembunyi bagi pelancong luar.
Ia adalah satu destinasi pelancongan yang semakin mendapat populariti namun masih terdapat banyak potensi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Makassar mempunyai sejarah yang kaya dan warisan budaya unik.
Dari perdagangan maritim hingga pengaruh pelbagai suku, bandar ini mempunyai banyak kisah menarik untuk diceritakan. Akan tetapi, Makassar tidak didedahkan di mata dunia kerana kurangnya promosi dan pemasaran Makassar sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Keadaan ini mengakibatkan Makassar sering diabaikan pelancong luar dan tidak mendapat perhatian sepatutnya.
Dalam rentetan masa berpuluh-puluh tahun, Makassar mula muncul sebagai sebuah bandar penting dan strategik di wilayah Indonesia Timur.
Pada abad ke-16 dan ke-17, bandar ini telah menjadi pusat perdagangan dominan di rantau ini dan dianggap sebagai salah satu bandar terbesar di Asia Tenggara.
Sejarah awalnya berpusat pada perdagangan maritim yang aktif di mana pedagang dari berbagai penjuru dunia berkumpul di pelabuhan Makassar.
Sejarah ini mengukuhkan kepentingan bandar berkenaan dalam menjalankan perdagangan antarabangsa yang berpengaruh.
Seiring dengan masa dan pengaruh empat suku terbesar di Makassar iaitu suku Makassar, Bugis, Toraja dan Mandar, turut memainkan peranan penting dalam membentuk kekayaan budaya dan sejarah bandar ini.
Keberadaan dan pengaruh suku-suku tersebut telah mencipta landskap budaya yang sangat beraneka di Makassar namun sayangnya sering kali dilupakan pelancong dan masyarakat umum.
Menurut data Badan Pusat Statistik, jumlah pelancong yang berkunjung ke Makassar terus meningkat dari tahun ke tahun.
Pada tahun 2019, Makassar berjaya menarik lebih daripada 1.5 juta pelancong.
Namun, Makassar masih kurang didedahkan di mata dunia disebabkan kurangnya usaha promosi dan pemasaran Makassar sebagai destinasi pelancongan menarik.
Kepala Dinas Pariwisata Makassar berpendapat, dengan promosi lebih efektif, Makassar boleh menarik lebih ramai pelancong, memberi manfaat ekonomi yang besar kepada kawasan tersebut dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi bandar ini.
Dengan mempromosikan bumi Makassar melalui platform TikTok, langkah-langkah yang berkesan termasuk menggunakan hashtag relevan, menjalin kerjasama dengan influencer TikTok tempatan, menggabungkan muzik tempatan dan menjelaskan sejarah dan budaya Makassar melalui video-video kreatif dan pendidikan akan tercapai.
Dengan pendekatan kreatif dan informatif, TikTok boleh menjadi platform kuat untuk meningkatkan kesedaran dan minat dalam destinasi pelancongan Makassar.
Sebagai akhir kata, Makassar adalah permata yang belum sepenuhnya ditemui.
Namun, peluang dan potensi Makassar sebagai destinasi pelancongan yang menarik masih belum sepenuhnya dimanfaatkan.
Saya yakin, dengan usaha promosi berterusan, Makassar akan muncul sebagai destinasi popular dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nur Athirah Izzati Mohd Adnan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my