
Kecuaian pemandu: Nyawa pengguna jalan raya jadi korban
Setiap hari, jalan raya menjadi pusat pergerakan masyarakat. Ia menghubungkan manusia dengan tempat kerja, institusi pendidikan, pusat perniagaan dan keluarga.
Urusan harian tidak dapat berjalan dengan lancar tanpa adanya jalan raya.
Walau bagaimanapun, di sebalik fungsinya yang penting, jalan raya sering menjadi saksi kepada tragedi yang meragut nyawa akibat kecuaian pemandu.
Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu ketika berada di jalan raya semakin membimbangkan dan terus mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Dalam era kehidupan serba pantas hari ini, sikap tergesa-gesa dan mementingkan diri sendiri semakin meningkat dalam kalangan pemandu. Mereka lebih meletakkan kepentingan diri sendiri berbanding keselamatan bersama.
Perbuatan seperti melanggar lampu isyarat, memandu melebihi had laju yang ditetapkan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah peraturan asas jalan raya yang sering diabaikan dan dianggap remeh dalam kalangan mereka.
Hakikatnya, setiap kecuaian inilah yang membawa kepada risiko besar yang boleh meragut nyawa dalam sekelip mata.
Lebih membimbangkan ialah sesetengah pemandu nampaknya tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadap pengguna jalan raya yang lain.
Penunggang motosikal, pejalan kaki dan penunggang basikal sering menjadi mangsa kepada sikap pemandu yang cuai dan agresif ini.
Jalan raya yang sepatutnya menjadi kawasan perkongsian kini bertukar menjadi medan bahaya akibat dari sikap yang tidak sabar dan bertimbang rasa.
Tragedi kemalangan maut yang berlaku di Kuala Terengganu pada 5 Januari lalu, yang telah mengorbankan seorang penuntut universiti wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak.
Insiden ini bukan sekadar laporan berita, namun ia menunjukkan kebenaran tragis bahawa nyawa pengguna jalan raya boleh hilang akibat kesilapan yang boleh dielakkan.
Kehilangan seorang insan muda yang sedang menuntut ilmu bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada keluarga mangsa, malah turut mengundang kesedihan dan simpati masyarakat sekeliling.
Tambahan pula, insiden ini menunjukkan kecuaian pemandu dalam kalangan pemandu semakin ketara terutamanya di kawasan bandar dan persimpangan lampu isyarat yang sepatutnya menjadi zon selamat.
Jalan raya menjadi semakin berbahaya kerana orang ramai menjadi tidak sabar, ingin cepat sampai ke tempat destinasi yang ingin dituju dan fikir mereka boleh melanggar peraturan jalan raya sesuka hati.
Keadaan ini bukan sahaja membahayakan pemandu itu sendiri, malah mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain yang tidak bersalah.
Walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh kerajaan dan agensi yang berkaitan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, kesedaran pemandu masih di tahap yang rendah dan membimbangkan.
Papan tanda, lampu isyarat dan undang-undang jalan raya sering dilihat sebagai halangan, bukan sebagai panduan keselamatan. Ini menunjukkan bahawa bukan kekurangan peraturan yang menyebabkan masalah, tetapi sikap, nilai dan disiplin pemandu itu sendiri yang lemah.
Selain itu, perkara yang lebih membimbangkan lagi ialah golongan muda, terutamanya pelajar dan remaja yang juga terdedah kepada budaya pemanduan tidak bertanggungjawab ini.
Sesetengah orang melihat pemanduan agresif sebagai sesuatu yang normal, malah mereka fikir ia adalah tanda keberanian dan kehebatan.
Rakan sebaya, persekitaran, media sosial dan kelajuan melampau yang dinormalisasikan serta pelanggaran peraturan jalan raya menyebabkan banyak pengaruh budaya ini dalam kalangan remaja.
Namun, keberanian sebenar tidak terletak pada memandu secara berbahaya, tetapi terletak pada keupayaan seseorang untuk mematuhi peraturan dan menghormati hak pengguna jalan raya lain.
Jika sikap ini tidak dibendung dari awal, budaya pemanduan yang berbahaya dan tidak berperikemanusiaan ini akan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Selain kesan fizikal, kecuaian pemandu juga meninggalkan trauma emosi yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Kesedihan yang sukar digambarkan ialah kehilangan orang yang kita sayangi kerana kecuaian orang lain.
Keadaan emosi ini boleh berterusan selama bertahun-tahun yang akan menjejaskan kesejahteraan mental ahli keluarga.
Tragedi seperti ini malangnya sering berlalu tanpa mengubah sikap masyarakat.
Persoalannya, sampai bila nyawa pengguna jalan raya harus terus menjadi korban kepada kecuaian pemandu?
Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua orang yang menggunakan jalan raya, bukan hanya pihak berkuasa semata-mata.
Setiap keputusan di jalan raya, walaupun kelihatan kecil, boleh membawa kesan besar yang tidak dapat dipulihkan dan tidak dapat diputar kembali.
Oleh itu, pendidikan keselamatan jalan raya harus diutamakan sebagai amalan praktikal dan bukannya sekadar pengetahuan teori.
Tanggungjawab dan empati perlu ditanam sejak kecil. Pihak berkepentingan seperti keluarga, sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah pihak yang paling penting dalam memainkan peranan untuk membentuk sikap pemanduan yang bermoral dan berhemah.
Pematuhan peraturan seharusnya lahir daripada rasa tanggungjawab, bukannya hanya takut akan hukuman semata-mata pada akhirnya, jalan raya ialah tempat sosial yang memerlukan kesabaran, toleransi dan perhatian.
Pembangunan dan infrastruktur kontemporari bukan satu-satunya cara sesebuah negara maju, tetapi juga cara rakyatnya bertindak.
Nyawa pengguna jalan raya akan terus terancam selagi kecuaian pemandu tidak diambil kira. Sudah tiba masanya semua pemandu menilai semula sikap mereka ketika berada di jalan raya.
Hal ini demikian kerana, keselamatan adalah keperluan, bukannya pilihan. Satu keputusan kecil untuk mematuhi peraturan adalah satu nyawa yang boleh diselamatkan.
Oleh itu, keselamatan jalan raya bermula dengan pemandu yang bertanggungjawab dan berhemat.
Maklumat penulis:
1. Sarjana muda pengurusan (pengajian polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu, Ar-rumaisya Abdullah
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli
Ringkasan AI
- Jalan raya menjadi penting dalam menghubungkan masyarakat dengan pelbagai tempat penting
- Kecuaian pemandu meningkatkan risiko tragedi yang meragut nyawa di jalan raya
- Meningkatnya sikap tergesa-gesa dan memprioritaskan diri sendiri di kalangan pemandu
- Peraturan asas jalan raya sering diabaikan, meningkatkan bahaya kepada pengguna lain
- Pendidikan keselamatan jalan raya dan pematuhan peraturan adalah kunci untuk mengurangkan kecelakaan