Kembara ke Turki janjikan pelbagai keindahan luar biasa kepada Nur Fathina Aula dan rakan-rakannya.
Kembara ke Turki janjikan pelbagai keindahan luar biasa kepada Nur Fathina Aula dan rakan-rakannya.

Kembara Turki bawa 1,001 ibrah

09 Jan 2024 11:49am

Mewakili Universiti Malaya (UM) dalam program pertukaran pelajar ke negara Turki selama satu semester, memberi pelbagai pengalaman penuh makna dan menginspirasi kepada diri ini.

Dengan keunikan Turki sebagai negara Islam yang gah di mata dunia, saya semestinya teruja untuk melihat sejauh mana Islam itu masih tersebar di bumi Uthmaniyyah apatah lagi diri merupakan mahasiswa jurusan agama dalam bidang dakwah.

Pada hari pertama menjejakkan kaki ke Turki baru-baru ini, saya merasakan negara berkenaan sudah mendapat tempat di hati saya.

Ia bermula dengan pertemuan dengan kumpulan penuntut Malaysia di sana di mana mereka melayani saya dengan begitu baik sekali.

Segala urusan pembelajaran lancar malah saya terasa sangat bersyukur apabila terpilih dalam kalangan rakyat Malaysia datang ke Turki.

Untuk pembaca Sinar Bestari, saya ingin berkongsi beberapa kenangan indah sepanjang berada di Turki.

Yang pertama, sewaktu di dalam kelas pengajian al-Quran, hanya ada saya dan seorang lagi penuntut Malaysia mengikuti kelas tersebut.

Ketika itu, pensyarah, Hoca (panggilan hormat kepada guru atau pensyarah dalam bahasa Turki) Yasmin mengajar kami tentang cara bacaan surah al-Mulk yang betul.

Artikel Berkaitan:

Hoca Yasmin dikatakan memiliki bacaan bersanad. Tidak hairanlah cara beliau melafazkan setiap huruf hijaiyah sangat bertepatan dengan makhraj.

Ketika di kelas tersebut, beliau menyuruh setiap mahasiswa untuk membaca di hadapan kelas.

Apabila tiba giliran kami membaca surah al-Mulk, Hoca Yasmin terkejut lantas terus memuji bacaan.

"Walaupun kamu bukan dari negara Arab, tetapi bacaan kamu bagus seperti orang Arab," katanya.

Nur Fathina Aula
Nur Fathina Aula

Kenangan seterusnya, ketika bulan Ramadan yang lalu, kesemua masjid di Istanbul sesak kerana dipenuhi dengan masyarakat Turki.

Apa yang mengejutkan lagi apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, semua masjid terutamanya Masjid Besar Hagia Sophia Turki masih penuh sama seperti hari pertama Ramadan kerana mereka mengejar malam Lailatul Qadar.

Selain itu, setiap kali ada berita pemergian seseorang, mereka pasti berebut-rebut untuk menunaikan solat jenazah di masjid malah solat fardu secara berjemaah di juga tidak kurang ramainya.

Seterusnya, masyarakat Turki sangat mengagumi orang asing yang datang ke negara mereka untuk menuntut ilmu apatah lagi daripada aliran agama.

Pernah suatu hari, ketika berada di Masjid Fatih Istanbul, saya ditegur seorang wanita.

Apabila memberitahu dia yang saya belajar dalam bidang Pengajian Islam, wanita ini sangat teruja dan tersenyum lebar.

Belum cerita lagi adat mereka yang suka menghulurkan duit apabila tahu kita seorang mahasiswa. Bagi mereka, ia perlu diraikan dan duit tersebut sebagai tanda penghargaan. Mulia sungguh hati rakyat Turki!

Menghormati individu menuntut ilmu

Masyarakat Turki sangat menghormati individu yang menuntut ilmu.

Boleh di katakan setiap kali saya ke mana-mana, pasti mereka akan bertanya datang dari negara mana dan kenapa ke sini?

Apabila mengatakan saya seorang penuntut, mereka akan memberikan diskaun pada barangan atau buku yang di beli.

Pada sambutan hari raya pula, setelah selesainya solat pagi raya, mereka akan memberikan pelbagai manisan dan biskut kepada semua orang.

Begitu juga apabila kita datang bertandang ke rumah, mereka akan menjamu makanan yang sangat banyak kepada tetamu.

Sebagai orang Melayu, kita sudah terbiasa dengan adab menghabiskan makanan sebagai tanda menghormati tuan rumah.

Bagi mereka yang melihat makanan telah habis, mereka menganggap kita masih lapar dan memaksa untuk menambah makanan sedangkan kita berniat untuk menjaga hati tuan rumah.

No Image Caption

Itulah cara mereka yang sangat memuliakan tetamu termasuklah ketika ke kedai untuk membeli kad tambah nilai prabayar telefon bimbit, mereka akan menjamu saya dengan secawan teh sementara menunggu.

Pernah juga suatu hari ketika di stesen kereta api, ada seorang makcik menegur kami kerana dia hairan melihat gaya tudung yang berbeza dengan gaya tudung mereka.

"Kamu daripada mana? Cantik gaya tudung kamu," katanya selepas agak lama dia merenung kami.

Menghormati wanita

Masyarakat Turki sangat menghormati kaum wanita. Sebagai contoh, sewaktu hendak pergi atau pulang dari kelas, boleh dikatakan sudah banyak kali saya ditawarkan tempat duduk ketika keadaan dalam bas terlalu padat.

Mereka begitu prihatin terhadap wanita. Mungkin kerana itu jugalah, Turki antara yang selamat sekiranya seorang wanita ingin mengembara secara solo.

Ziarah pusara

Ketika berada di Turki, saya sempat menziarahi pusara mahasiswa Malaysia, Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam yang pernah menjadi fenomena di negara kita.

Kematian beliau begitu dicemburui malah jenazahnya diberi pernghormatan untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang menempatkan jasad 60 para syuhada terdiri daripada sahabat-sahabat Nabi yang membebaskan Konstatinopel antaranya Abu Ayyub al-Ansari.

Kesimpulannya, sepanjang saya berada di bumi Uthmaniyyah, ia telah memberikan 1001 ibrah (pengajaran) dalam memaknai hidup ini.

Sudah pasti, seorang anak muda seperti saya merasa bahawa pengalaman itulah yang membantu mendewasakan diri ini.

Dalam masa yang sama, pengalaman ini telah membuka ruang di minda saya untuk melihat sisi lain dunia Islam di sana.

Turki, akan sentiasa ada tempat di hati ini dan nekad untuk kembali lagi sekiranya berpeluang.

Jika tidak kerana ilmu, mana mungkin saya boleh meneroka adat dan budaya Islam di negara mereka. Rupanya, mengembara itu menjadi lebih indah apabila kita niatkan setiap perjalanan untuk melihat kebesaran ALLAH SWT

Maklumat Penulis

Mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Jabatan Dakwah Dan Pembangunan Insan, Universiti Malaya, Nur Fathina Aula Wailie

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp