Isu kenaikan harga barang memberikan impak sangat mendalam kepada rakyat termasuklah kepada semua peniaga. Gambar kecil: Siti Nur Fatihah.
Isu kenaikan harga barang memberikan impak sangat mendalam kepada rakyat termasuklah kepada semua peniaga. Gambar kecil: Siti Nur Fatihah.

Kenaikan harga barang mentah cabaran besar peniaga kecil

05 Jan 2024 09:10am

‘Harga barang naik mendadak. Bukan sahaja beras yang naik sehingga RM40 sekampit, tetapi bawang, cili, gula pun naik sama’.

Berikut adalah luahan peniaga makanan, Shahara Ahmad, 44, yang terkesan dengan kenaikan harga barang.

Isu kenaikan harga barang memberikan impak sangat mendalam kepada rakyat termasuklah para peniaga kecil dan sederhana, peniaga makanan serta mereka yang terlibat dengan sektor peruncitan sekali gus merupakan cabaran utama dihadapi oleh mereka.

Peniaga makanan yang bergantung kepada bahan mentah untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan akan menghadapi peningkatan kos pengeluaran.

Ini boleh merangsang tekanan kewangan yang signifikan terutama jika mereka tidak dapat menaikkan harga jualan produk atau perkhidmatan secara serentak hingga menambahkan lagi ujian kepada peniaga yang perlu mencari nafkah untuk keperluan seharian.

Tanpa adanya bahan mentah mencukupi, ia akan menyukarkan peniaga memenuhi permintaan pelanggan.

Akibatnya, permintaan pelanggan semakin hari semakin berkurang.

Sementara itu, peniaga nasi lemak, Nurul Mustofa, 43, meluahkan rasa gusarnya apabila harga barang mentah naik.

Artikel Berkaitan:

“Harga barang mempengaruhi modal dan untung kami. Apabila harga barang naik, modal pun tinggi tapi untung yang dapat akan sikit jika harga jualan masih sama.

“Biasanya, setiap hujung minggu pasti akan habis dua tong nasi. Tapi sejak berlakunya kenaikan harga beras, satu setengah tong sahaja yang saya dapat jual.

“Tidak dinafikan, segelintir pelanggan merungut harga jualan naik, tetapi saya bersyukur kerana kebanyakannya faham asbab ia naik,” katanya.

Dalam pada itu, kenaikan harga barang mentah menyebabkan peniaga kecil dalam dilema sama ada mahu menaikkan harga jualan produk atau mengekalkan harga semasa untuk menarik pelanggan.

Hal ini kerana pelanggan cenderung menjadi lebih sensitif terhadap harga dan boleh mencari alternatif lebih murah.

Apabila menaikkan harga jualan, ia membawa kepada risiko kehilangan pelanggan.

Mereka (pelanggan) sudah semestinya akan mencari peniaga lain yang menawarkan harga lebih rendah.

Bagi peniaga kecil, menghadapi kenaikan harga barang mentah memerlukan kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran.

Justeru, sokongan dari pihak berkuasa dan pemangkin inovasi akan membantu mencipta persekitaran perniagaan lebih mampan dan memberi peluang kepada peniaga kecil terus berkembang dalam era yang penuh dengan cabaran ekonomi.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Siti Nur Fatihah Hasmadi dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp