Meningkatkan minat murid terhadap AI
Dalam merapatkan jurang literasi digital khususnya pemahaman terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), kerajaan dengan kerjasama Intel Malaysia telah melancarkan inisiatif ‘AI untuk Rakyat’. Sebagaimana digariskan oleh Menteri Ekonomi, matlamat inisiatif ini boleh dilihat melalui dua sudut golongan sasaran iaitu pelajar dan masyarakat umum.
Bagi pelajar, inisiatif berkenaan diharap dapat memberikan gambaran asas tentang dunia AI seterusnya berupaya menarik minat mereka menceburi kerjaya dalam sektor AI. Masyarakat umum pula, matlamatnya adalah untuk membina kesedaran tentang dunia AI seterusnya berupaya memperkukuh kemahiran bagaimana memanfaatkan aplikasi AI untuk meningkatkan produktiviti.
Hakikatnya, program dan latihan susulan program ‘AI untuk Rakyat’ bagi memperkukuh pencapaian matlamat kedua-dua golongan sasaran sepatutnya berbeza. Di mana bagi pelajar, fokus latihan sepatutnya tertumpu pada aspek teknikal yang menjurus ke arah atribut reka bentuk dan pembangunan aplikasi AI. Manakala bagi masyarakat umum pula, fokus latihan sepatutnya lebih tertumpu kepada atribut kemahiran mengguna aplikasi dengan fitur AI dan juga atribut kreativiti.
Bagi mencapai matlamat yang disasarkan kepada pelajar, peranan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah sangat penting khususnya dari aspek semakan kurikulum. Di mana, program coding di sekolah memerlukan suatu definisi baharu supaya ia berpotensi menimbulkan minat dan bukannya meningkatkan kebimbangan. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui fakulti-fakulti berasaskan Pengkomputeran, Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pula boleh memainkan peranan dari aspek latihan kemahiran asas berkaitan.
Latihan kemahiran asas oleh fakulti-fakulti berasaskan Pengkomputeran dan Sains Komputer adalah sepatutnya tertumpu pada aspek pembangunan aplikasi AI dan bukannya aspek mengguna aplikasi AI secara kreatif. Di mana, aspek mengguna aplikasi AI serta aspek kreativiti boleh dikendalikan dengan kerjasama pelbagai fakulti dan pihak berkaitan lain berdasar keperluan. Penindanan penawaran latihan kemahiran yang sama adalah perlu dielakkan.
Latihan kemahiran mengguna aplikasi AI secara kreatif adalah hakikatnya lebih mudah jika dibandingkan dengan latihan kemahiran membangun aplikasi AI, khususnya dengan lambakan aplikasi-aplikasi berasaskan AI Generatif mudah guna kini. Oleh itu, adalah penting fakulti-fakulti berasaskan Pengkomputeran atau Sains Komputer memberi tumpuan pada komponen yang lebih sukar ini iaitu bersesuaian dengan kemahiran bidang mereka.
Bagi memahami perkara ini secara jelas, pemahaman tentang bidang pendidikan AI adalah sangat penting. Secara amnya, AI merujuk kepada simulasi kecerdasan manusia yang disepadukan ke dalam mesin dalam bentuk pengaturcaraan komputer. Secara mudah untuk difahami, AI adalah keupayaan mesin untuk belajar, melaksanakan dan menyelesaikan masalah seperti manusia sebenar.
Pendidikan AI
Pendidikan AI merangkumi pelbagai konteks seperti AI Konvensional iaitu menggunakan peraturan dan logik formal untuk menyelesaikan masalah tertentu. Berikutnya, Pembelajaran Mesin (Machine Learning), iaitu membolehkan komputer belajar daripada data tanpa pengaturcaraan eksplisit. Model Pembelajaran Mesin yang baik berpotensi meningkatkan keupayaannya dari semasa ke semasa berdasarkan pengalaman dan data yang diperoleh.
Seterusnya, Deep Learning iaitu sub bidang Pembelajaran Mesin yang menggunakan rangkaian saraf dalam untuk mengekstrak dan memahami corak daripada data yang kompleks. Model Generatif adalah salah satu contoh model Deep Learning. Dari model Generatif ini, pelbagai aplikasi AI mudah guna bagi masyarakat umum telah dibangunkan. Misalnya, teks ke maklumat, teks ke audio, teks ke grafik, teks ke animasi dan sebagainya.
Bagi mengguna aplikasi Generatif AI secara berkesan, pengguna hanya perlu menerokai kemahiran memanipulasi prompt. Dalam AI Generatif, prompt adalah merujuk pada input atau pertanyaan yang diberikan kepada model untuk menjana output tertentu. Jenis prompt yang digunakan boleh mempengaruhi sifat dan kualiti kandungan yang dijana. Prompt boleh terdiri dalam bentuk soalan, arahan dan sebagainya.
Memandangkan kebanyakan aplikasi AI Generatif adalah berfokus pada pembangunan aplikasi media kreatif, aspek kreativiti juga adalah perlu bagi menghasilkan reka bentuk bermakna dan berkesan bagi sebarang tujuan. Misalnya, untuk tujuan pengiklanan, pendidikan, hiburan dan sebagainya.
Oleh itu, disamping kemahiran mengguna perisian AI Generatif dan kemahiran memanipulasi prompt, kreativiti juga perlu menjadi komponen latihan kemahiran mengguna aplikasi AI yang dilaksanakan untuk masyarakat umum. Latihan sebegini sebenarnya boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran dan pengalaman.
Latihan kemahiran yang berfokus pada pembangunan aplikasi AI, Pembelajaran Mesin, Deep Learning, model Generatif dan sebagainya yang lebih bersifat akademik dan teknikal adalah sukar bagi mereka yang di luar bidang pengkomputeran. Oleh itu, adalah penting fakulti-fakulti Pengkomputeran dan Sains Komputer menggambil peranan dengan memberi fokus terhadap latihan kemahiran asas yang sukar ini dan mengelak penindanan penawaran latihan yang sama.
Secara kesimpulan, tanpa latihan berstruktur susulan, inisiatif ‘AI untuk Rakyat’ tidak akan berpotensi mencapai matlamatnya. Bagi mencapai matlamat terhadap golongan sasaran yang berbeza pula, kesemua pelaksana latihan kemahiran perlu memastikan agar pertindihan latihan yang sama tidak berlaku. Iaitu, fokus yang tinggi diberikan terhadap kemahiran mengguna aplikasi AI. Manakala latihan asas kemahiran mereka bentuk dan membangun aplikasi AI diabaikan khususnya untuk pelajar sekolah kerana kekurangan pakar yang berkemahiran.
Maklumat Penulis
Pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my