MPG ’24 iktiraf kecemerlangan mahasiswa Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM
Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa menitikberatkan pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan mahasiswanya, baik dalam bidang akademik, sukan, kebudayaan, mahupun aktiviti lain yang memasyhurkan nama universiti.
Salah satu inisiatif yang menunjukkan komitmen ini ialah penganjuran Malam Permata Gemilang 2024 (MPG '24) oleh Kolej Tan Sri Aishah Ghani yang telah diadakan di Embun Resort, Putrajaya baru-baru ini.
Majlis tahunan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengiktiraf prestasi cemerlang mahasiswa, tetapi juga sebagai platform untuk memupuk semangat kompetitif dan teladan dalam kalangan pelajar.
Menghargai Pengorbanan dan Usaha Mahasiswa
Mahasiswa memainkan peranan yang unggul dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh UPM.
Keberhasilan pelbagai program bergantung kepada dedikasi dan pengorbanan mereka. Justeru, MPG '24 dijadikan wadah untuk mengiktiraf usaha-usaha tersebut.
Dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Kolej Tan Sri Aishah Ghani dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, MPG '24 serta memperoleh penajaan dari Waris Tan Sri Aishah Ghani iaitu Datuk Astaman Abdul Aziz dan keluarga serta beberapa penajaan lain daripada alma mater, alumni serta persendirian.
Pengetua Kolej, Dr Daljit Singh Karam Singh berpendapat bahawa majlis ini adalah satu platform penting untuk mengiktiraf usaha dan dedikasi pelajar-pelajar, kakitangan, dan pihak-pihak yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan kolej.
Platform Pengasahan Kemahiran Insaniah
Selain menjadi medium pengiktirafan, MPG '24 juga berfungsi sebagai platform untuk mengasah kemahiran insaniah mahasiswa.
Melalui penglibatan pelajar sebagai ahli jawatankuasa pelaksana, pelbagai kemahiran seperti kepimpinan, kerjasama, komunikasi, dan pengurusan masa dapat diasah.
Ini sejajar dengan matlamat UPM untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti tinggi dan berkemahiran, meningkatkan kualiti serta daya saing graduan di peringkat global.
Kategori Pengiktirafan dan Anugerah
Anugerah yang diberikan pada malam MPG '24 meliputi pelbagai kategori yang mencerminkan kecemerlangan dalam aspek akademik, kepimpinan, sukan, kebudayaan, dan sumbangan kepada masyarakat.
Contohnya, Anugerah Tan Sri Aishah Ghani, Anugerah Gemilang Putra Akademik, Anugerah Gemilang Putra Kepimpinan, Anugerah Gemilang Putra Sukan dan sebagainya.
Setiap penerima anugerah dipilih berdasarkan pencapaian mereka sepanjang tahun dan impak positif yang mereka berikan kepada komuniti kolej dan universiti.
Pemenang anugerah utama Tan Sri Aishah Ghani yang juga Presiden Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Azrina Erialdi berkesempatan untuk menyuarakan rasa syukurnya terhadap pengiktirafan yang diberikan.
“Pengiktirafan ini amat bermakna bagi saya. Ia bukan sahaja satu pencapaian peribadi, tetapi juga suatu hasil daripada kerja keras, dedikasi, dan komitmen yang saya dan ahli organisasi pegang selama ini demi kesejahteraan kolej.
“Ini juga adalah cerminan kepada usaha dan sokongan semua pihak di kolej, dari para pelajar, staf, hingga ke pentadbiran. Saya ingin berterima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan, nasihat, dan dorongan sepanjang perjalanan saya di kolej ini,” katanya.
Menghormati Legasi Tan Sri Aishah Ghani
Majlis MPG '24 ditaja oleh waris penaung kolej, Datuk Astaman Abdul Aziz dan anaknya, Ahmad Arif Astaman.
Penajaan ini adalah satu penghormatan kepada legasi Tan Sri Aishah Ghani, seorang tokoh yang dihormati dalam sejarah Malaysia.
Tan Sri Aishah Ghani telah memainkan peranan penting dalam pembangunan kebajikan masyarakat semasa berkhidmat sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat Malaysia dari tahun 1973 hingga 1984.
"Kami sekeluarga cukup terharu dengan usaha pihak UPM dan Pengurusan Kolej Tan Sri Aishah Ghani untuk mengiktiraf dan mengabadikan nama beliau di sana, semasa hayatnya, beliau sangat mementingkan ilmu dan pendidikan, dan merupakan antara contoh ulung tentang potensi seorang wanita Melayu sekiranya semangat dan keinginan untuk belajar itu digabungkan dengan peluang dan kepercayaan institusi pendidikan tempatan.
“Justeru, saya mewakili keluarga mengalukan apa-apa usaha dari pihak KTAG bagi meneruskan legasi kecemerlangan ilmu tersebut, khususnya di kalangan pelajar perempuan, sebagai satu tanda penghormatan kepada seorang ‘trailblazer’ seperti beliau. Sekiranya beliau masih ada, saya yakin yang beliau akan amat berpuas hati melihat tekad dan keazaman pelajar-pelajar KTAG dalam menjadi pelajar yang ‘well-rounded’ dari semua aspek, dan kami mendoakan semoga usaha ini akan sentiasa diberkati Allah,” ujar Datuk Astaman Abdul Aziz.
Waris kepada Almarhumah Aishah Ghani itu juga menasihati supaya semua anak-anak KTAG tidak mensia-siakan peluang yang telah dikurniakan, dan memastikan yang keutamaan tetap diberikan kepada asbab kemasukan ke universiti - iaitu mendapatkan ijazah masing-masing.
Ia bukanlah penentu kejayaan masa depan, tetapi ia akan menjadi satu penanda aras yang akan dibawa untuk satu tempoh yang cukup panjang.
“Sekiranya permulaan ke alam pekerjaan itu dibuat dengan bekal keputusan cemerlang di peringkat universiti, insya-Allah perjalanan akan lebih dipermudahkan, dan pilihan peluang juga tentunya lebih banyak. Inilah masa untuk memperkasakan kemahiran mengimbangi di antara tuntutan pembelajaran secara sendiri, pengurusan peribadi dan peluang bersosial serta berinteraksi, tanpa mengabaikan syariat agama,” ujarnya.
Usaha dan Wawasan Pengarah Muda
Luqman Naqiuddin Zulhaimi, pengarah muda berusia 20 tahun, telah membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan dalam peranannya sebagai pengarah majlis Malam Permata Gemilang 2024 (MPG'24).
Sebagai pengarah program, beliau bertanggungjawab dalam merancang, mengatur, dan melaksanakan setiap aspek majlis ini.
Dari awal hingga akhir, Luqman memastikan semua persiapan berjalan lancar, termasuk pemilihan tema, penyediaan tempat, pengaturan acara, dan koordinasi dengan semua pihak yang terlibat.
"Visi saya adalah untuk memastikan MPG '24 bukan hanya sekadar acara tahunan, tetapi menjadi kenangan yang bermakna bagi semua yang terlibat. Saya mahu setiap mahasiswa yang menerima penghargaan merasa benar-benar diiktiraf dan dihargai atas usaha mereka," kata Luqman.
Cabaran yang Dihadapi
Namun, perjalanan pengarah muda ini tidaklah mudah. Salah satu cabaran terbesar adalah dalam hal koordinasi.
"Kadang-kadang, sukar untuk memastikan semua orang berada di halaman yang sama. Ada banyak pendapat dan cadangan, dan sebagai pengarah, saya perlu memastikan semuanya seimbang dan sesuai dengan visi kami," jelasnya.
Selain itu, kekangan kewangan juga merupakan satu cabaran yang perlu ditangani. Dengan dana yang terhad, Luqman perlu bijak dalam mengatur perbelanjaan dan memastikan semua keperluan majlis dapat dipenuhi tanpa mengorbankan kualiti.
"Ini memerlukan kreativiti dan pemikiran kritis. Saya belajar banyak tentang bagaimana mengurus sumber dengan efisien dan efektif," tambahnya.
Melalui majlis pengiktirafan seperti ini, warga Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM mengharapkan semangat kecemerlangan akan terus menyala dan menginspirasi lebih ramai mahasiswa untuk mencapai kejayaan gemilang pada masa hadapan.
Maklumat Penulis:
Eksekutif Penajaan Malam Permata Gemilang 2024 (MPG’24),
Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM, Nurul Aisyah Mohd Nor
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my