Pemerkasaan agenda zakat
Dalam usaha memperkukuhkan sistem kebajikan Islam di Malaysia, pemerkasaan agenda zakat menjadi satu langkah penting terutama membantu golongan asnaf dalam komuniti Orang Asli Islam.
Institusi zakat berperanan besar dalam memastikan pengumpulan dan pengagihan zakat dilaksanakan dengan cekap dan adil.
Bagaimanapun, komuniti Orang Asli yang mempunyai latar belakang budaya dan sosioekonomi berbeza menimbulkan cabaran unik dalam pengurusan zakat.
Pihak berkuasa agama Islam negeri seperti Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama agensi-agensi berkaitan telah menunjukkan kerjasama yang baik dalam menangani isu ini.
Melalui kolaborasi berkenaan, program pembangunan ekonomi dan pendidikan bersepadu dapat dirancang dengan lebih menyeluruh.
MUIP dan JAKOA misalnya, boleh mengadakan program latihan keusahawanan dan kemahiran dalam bidang pertanian organik, kraftangan dan ekopelancongan untuk meningkatkan pendapatan komuniti tersebut.
Inisiatif pembiayaan patuh syariah seperti kontrak musyarakah juga boleh diwujudkan untuk membantu usahawan Orang Asli memulakan perniagaan mereka sendiri.
Melalui langkah ini, golongan usahawan akan lebih mudah berkembang seterusnya layak membayar zakat akan datang.
Untuk memastikan pelaksanaan agenda zakat berjalan lancar, MUIP boleh menubuhkan jawatankuasa khas yang melibatkan perwakilan daripada JAKOA, agensi berkaitan, NGO, ketua masyarakat Orang Asli dan pakar pengajian Orang Asli.
Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai penggerak utama dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan ekonomi dan pendidikan zakat.
Selain itu, meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang kewajipan zakat juga penting.
MUIP dan pejabat agama Islam negeri lain boleh bekerjasama dengan pemimpin tempatan Orang Asli dan NGO untuk mengadakan kempen penerangan dan kesedaran mengenai kewajipan berzakat.
Dengan ini, komuniti Orang Asli akan lebih memahami dan menghargai kepentingan zakat dalam kehidupan mereka.
Kerjasama erat antara MUIP dan JAKOA diperlukan untuk mengenal pasti dan mengatur pengagihan zakat kepada golongan asnaf Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil.
Penglibatan wakil komuniti Orang Asli sebagai perantara dalam proses ini dapat memastikan bantuan zakat disampaikan dengan lebih berkesan.
MUIP boleh bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan JAKOA untuk melaksanakan program latihan khusus bagi melatih tenaga pengembang zakat yang memahami budaya Orang Asli.
Malah, strategi ‘Orang Asli bantu Orang Asli’ akan meningkatkan penerimaan dan keberkesanan usaha ini.
Elemen penting
Latihan kemahiran komunikasi dan kesedaran sosial adalah elemen penting dalam memperkasakan agenda zakat bagi komuniti Orang Asli Islam.
Program ini dirancang untuk membantu peserta membangunkan kemahiran komunikasi yang efektif serta meningkatkan kesedaran mereka tentang isu-isu sosial yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli. Kemahiran ini adalah kritikal untuk memastikan interaksi yang berkesan dengan komuniti dan menyampaikan maklumat tentang kewajipan zakat.
Melalui latihan ini, peserta akan didedahkan kepada teknik komunikasi yang sesuai dalam konteks budaya Orang Asli, membolehkan mereka berhubung dengan lebih baik dan mempengaruhi penerimaan komuniti terhadap program zakat.
Di samping itu, kesedaran sosial yang tinggi akan membantu peserta memahami dan merespon dengan lebih baik terhadap keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan asnaf dalam komuniti tersebut.
Dengan latihan kemahiran komunikasi yang mantap dan kesedaran sosial yang tinggi, wakil-wakil komuniti Orang Asli dapat menjadi agen perubahan yang efektif dalam usaha memperkasakan zakat, memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan seterusnya meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka.
Usahawan Orang Asli yang menerima pembiayaan patuh syariah memerlukan bimbingan untuk mencipta jenama produk yang unik berasaskan budaya dan identiti mereka seperti pertanian organik atau produk kraftangan.
Ini akan membantu meningkatkan pendapatan mereka dan menjadikan mereka layak membayar zakat pada masa akan datang.
Untuk memperluaskan agenda zakat bagi membantu golongan asnaf dalam kalangan masyarakat Orang Asli, kerjasama padu antara MUIP, JAKOA, agensi kerajaan, NGO, pemimpin tempatan Orang Asli dan institusi pendidikan tinggi adalah amat diperlukan.
Dengan penglibatan semua pihak dalam perancangan dan pelaksanaan yang strategik, halangan yang dihadapi boleh diatasi untuk meningkatkan kualiti hidup Orang Asli mengikut ajaran Islam.
Kewujudan PULDOA
Penubuhan Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) adalah inisiatif penting dalam memperkasakan agenda zakat dan pembangunan komuniti Orang Asli Islam.
PULDOA akan berperanan sebagai pusat latihan dan pembelajaran bagi komuniti Orang Asli dalam bidang agama, ekonomi, dan sosial.
Melalui PULDOA, pelbagai kursus dan program latihan akan dijalankan, termasuk kursus pengurusan zakat, latihan kemahiran keusahawanan, dan program pembangunan kapasiti.
PULDOA juga akan menjadi pusat rujukan dan sokongan bagi komuniti Orang Asli, menyediakan kaunseling dan bimbingan dalam hal ehwal agama dan kehidupan seharian.
Dengan adanya pusat ini, komuniti Orang Asli akan mendapat akses kepada pendidikan dan latihan yang berkualiti, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka serta memperkukuhkan ikatan mereka dengan agama Islam.
Islamic Outreach ABIM Kelantan (IOAK) menunjukkan contoh baik melalui inisiatif melahirkan pendakwah Orang Asli.
Mereka memerlukan lebih RM1 juta setahun untuk menyokong usaha ini, termasuk perbelanjaan elaun guru, makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk 45 pelajar.
Usaha ini bertujuan mendidik dan melatih individu sebagai pendakwah yang kembali berkhidmat dalam komuniti mereka.
Dengan langkah-langkah ini, pemerkasaan agenda zakat dapat membantu memperbaiki keadaan sosioekonomi komuniti Orang Asli Islam secara menyeluruh dan berkesan.
Kerjasama erat antara semua pihak akan memastikan zakat dapat memainkan peranannya dalam memperkukuh kebajikan masyarakat.
Maklumat Penulis
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohamad Hafis
2) Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my