Penghijrahan pekerja mahir merugikan Malaysia?
Trend rakyat Malaysia bekerja di luar negara semakin membimbangkan ditambah pula individu yang pakar dalam bidangnya enggan berbakti di tanah air sendiri.
Ia berlaku apabila mereka yang pakar dan mahir mengejar tangga gaji yang lebih tinggi termasuk prospek kerja yang jauh lebih bagus.
Apakah kelebihan yang ada pada negara lain berbanding Malaysia? Adakah kerajaan yang bersalah terhadap isu ini ataupun rakyat sendiri inginkan kehidupan lebih selesa di negara luar?
Hasil penyelidikan Employment Hero, sejumlah 72 peratus pekerja muda sedang mempertimbang untuk bekerja di luar negara untuk prospek kerja lebih baik.
Situasi itu perlu dipandang serius dan diambil tindakan segera supaya Malaysia mampu berkembang dengan adanya pekerja berkemahiran tinggi mengendalikan teknologi dan sebagainya. Khidmat mereka amat diperlukan untuk memajukan negara. Kumpulan mahir itu mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh memberi sumbangan positif kepada negara dan penghijrahan pakar dalam skala besar akan merugikan ekonomi negara kelak.
Sementara itu, sebuah portal tempatan melaporkan isu gaji tidak setimpal kerja bukan sahaja dihadapi oleh golongan biasa, malah menjadi barah dalam kalangan pekerja profesional.
Bukan sahaja diberi gaji yang tidak setimpal, namun situasi ini berterusan dan menjadi lebih teruk disebabkan pekerja terpaksa berkhidmat lebih masa untuk menyara hidup diri mahupun keluarga mereka.
Keadaan ekonomi negara sekarang yang tidak menentu dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan berikutan kos sara hidup yang meningkat boleh menjadi penyebab pekerja sedia ada di Malaysia berkhidmat di luar negara.
Pemberian gaji pada kadar yang sama, namun harga barang yang tidak menentu merungsingkan rakyat Malaysia.
Disebabkan tidak mampu menampung kos sara hidup yang semakin membebankan, negara luar yang mempunyai kedudukan ekonomi kukuh menjadi target dan pilihan utama rakyat negara ini. Misalnya, Singapura, Jepun, United Kingdom dan lain-lain negara lagi menawarkan pendapatan lumayan mencecah tiga kali ganda gaji negara kita.
Bagaimanapun, ada juga berpendapat mencari pekerjaan di luar negara bukanlah disebabkan gaji semata-mata, namun ia adalah peluang keemasan dalam mencari pengalaman dan ilmu yang lebih luas.
Lebih sejuta kerja di luar negara
Untuk rekod, Malaysia sudah pun kehilangan sebilangan modal insan mahir dan pakar akibat penghijrahan ke luar negara yang menjadi trend masa kini.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyatakan, Malaysia mempunyai kadar penghijrahan cendekiawan sebanyak 5.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dalam negara, lebih tinggi daripada kadar purata 3.3 peratus di peringkat global.
Seramai 1.86 juta rakyat Malaysia menetap di luar negara dan 1.13 juta daripada jumlah itu menetap di Singapura.
Situasi itu secara tidak langsung dapat membangunkan ekonomi negara luar, tetapi, apakah kesudahan bagi negara Malaysia? Mampukah negara ini membangun tanpa adanya kerjasama daripada pekerja-pekerja profesional tersebut.
Persepsi pekerja tiada masa depan di negara ini memerlukan pengkajian semula terhadap dasar yang ada dalam negara ini. Kita sedia tahu bahawa Malaysia banyak melahirkan modal insan bukan sahaja berpendidikan tinggi tetapi pakar dan mahir dalam pelbagai bidang.
Oleh sebab itu, golongan ini sepatutnya berganding bahu menaikkan dan memajukan negara dari segi meningkatkan pengeluaran, kemajuan teknologi, pembangunan ekonomi dan sebagainya. Usaha kerajaan mengawal serta menghalang penghijrahan pekerja mahir ke luar negara juga perlu lebih giat dijalankan.
Hal ini kerana dasar sedia ada tidak mampu menyekat penghijrahan pekerja asing ke luar negara. Misalnya, pembentukan dasar penghijrahan pekerja perlu jelas atau menggambarkan secara keseluruhan dan komprehensif mengenai penghijrahan pekerja mahir ini.
Dasar ini sepatutnya menentukan syarat-syarat, prosedur dan terma-terma penghijrahan. Penilaian keperluan pekerja juga perlu dititikberatkan. Menjalankan penilaian secara berkala terhadap keperluan buruh di negara ini sangat penting untuk memastikan penghijrahan pekerja tidak memudaratkan pasaran buruh tempatan.
Walau bagaimanapun, kerajaan juga perlu sentiasa peka dengan persekitaran semasa seperti berusaha memulihkan ekonomi negara yang tidak menentu supaya pekerja-pekerja ini yakin dengan kemampuan negara dalam mendepani cabaran ekonomi.
Maklumat Penulis
Pelajar tahun akhir SM Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Wan Nur Athirah Wan Mohd Rasidi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my