Mengatasi cabaran ini memerlukan usaha bersama daripada majikan dan pekerja untuk memastikan kesejahteraan mental dan fizikal yang lebih baik.
Mengatasi cabaran ini memerlukan usaha bersama daripada majikan dan pekerja untuk memastikan kesejahteraan mental dan fizikal yang lebih baik.

Peranan majikan dan pekerja dalam mencapai 'work-life balance' yang berkesan

19 May 2025 10:00am

Dalam dunia kerja yang semakin sibuk, keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi (work-life balance) menjadi semakin penting.

Work-life balance merujuk kepada keseimbangan antara tanggungjawab kerja dan kehidupan peribadi seseorang, dengan menekankan keperluan untuk membahagikan masa dan tenaga secara adil antara kedua-duanya.

Perkara ini menjadi lebih kritikal apabila kita dapat melihat trend peningkatan masalah kesihatan mental selepas pandemik Covid-19.

Statistik menunjukkan bahawa terdapat peningkatan lima kali ganda dalam jumlah individu yang mendapatkan sokongan melalui Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) pada tahun 2022 berbanding 2020 (Sumber: Berita Harian, 10 Oktober, 2022).

Peningkatan ini mencerminkan tekanan yang semakin tinggi yang dihadapi oleh pekerja dan menekankan betapa pentingnya mengekalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi untuk mengelakkan masalah kesihatan mental yang serius.

Keseimbangan ini bukan hanya penting untuk kesejahteraan individu, tetapi juga untuk produktiviti dan keberkesanan di tempat kerja.

No Image Caption

Mengatasi cabaran ini memerlukan usaha bersama daripada majikan dan pekerja untuk memastikan kesejahteraan mental dan fizikal yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Antara peranan majikan dalam mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi adalah:

1) Fleksibiliti kerja: Menyediakan fleksibiliti dalam jadual kerja seperti pilihan bekerja dari rumah, waktu kerja fleksibel atau jadual kerja yang boleh diubahsuai, dapat membantu pekerja menyesuaikan tanggungjawab kerja dengan kehidupan peribadi mereka.

2) Sokongan kesihatan mental: Majikan juga boleh menawarkan sokongan kesihatan mental seperti akses kepada kaunseling, program kesejahteraan dan latihan tentang pengurusan stress. Ini dapat membantu pekerja menangani tekanan kerja dengan lebih baik.

3) Cuti dan masa rehat: Memastikan pekerja mempunyai akses yang mencukupi kepada cuti tahunan, cuti sakit dan masa rehat yang cukup. Pengurusan cuti yang baik membantu pekerja memulihkan tenaga dan mengelakkan keletihan. Secara tidak langsung, pekerja lebih bersemangat untuk menghasilkan kerja lebih bermutu dan berkualiti.

4) Menggalakkan budaya kerja yang sihat: Pentingnya majikan mewujudkan budaya kerja yang menghargai keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi adalah kerana ia memberi impak besar kepada kesejahteraan pekerja, produktiviti dan kepuasan kerja. Mengelakkan budaya kerja berlebihan seperti ketidakadilan dalam pembahagian kerja, adalah penting untuk memastikan pekerja tidak merasa terbeban. Apabila beban kerja diagihkan secara adil, setiap individu berasa dihargai dan berupaya menyumbang mengikut kapasiti masing-masing.

5) Komunikasi terbuka: Menggalakkan komunikasi terbuka mengenai beban kerja dan keperluan pekerja adalah langkah penting dalam mewujudkan suasana kerja sihat dan inklusif. Apabila majikan memberi ruang untuk mendengar dan memahami cabaran yang dihadapi pekerja, khususnya dalam mengimbangi kerja dan kehidupan peribadi, ia menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan mereka.

No Image Caption

Manakala, peranan pekerja pula adalah:

6) Mengurus masa dengan baik: Mengamalkan kemahiran pengurusan masa yang berkesan untuk memastikan bahawa tugas-tugas kerja dan tanggungjawab peribadi dapat diuruskan dengan baik. Ini termasuk menetapkan had masa kerja dan menjaga masa untuk aktiviti peribadi dan keluarga.

7) Mengurus tekanan dan stres: Pekerja harus menggunakan strategi pengurusan stres seperti meditasi, senaman dan percutian membantu pekerja mengurus tekanan kerja, meningkatkan kesejahteraan mental serta mencegah keletihan, dengan memberi ruang untuk rehat dan pemulihan emosi.

8) Berbincang dengan majikan dan rakan sekerja: Perbincangan yang berterusan, terbuka dan jelas antara pekerja, majikan dan rakan sekerja juga penting. Ini termasuk menyampaikan keperluan, batasan dan harapan secara tepat supaya semua pihak memahami kapasiti kerja dan tanggungjawab masing-masing. Dengan berbuat demikian, pekerja dapat mengelakkan situasi di mana beban kerja menjadi terlalu berat atau tugas diberikan di luar kemampuan mereka, yang boleh menyebabkan keletihan, stres atau konflik.

9) Memanfaatkan cuti dan masa rehat: Mengambil cuti dan masa rehat yang diperuntukkan untuk memulihkan tenaga dan mengelakkan burnout.

10) Menjaga kesihatan: Mengamalkan gaya hidup sihat termasuk diet seimbang, tidur mencukupi dan aktiviti fizikal yang regular, untuk menyokong kesejahteraan fizikal dan mental.

No Image Caption

Kesimpulannya, keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi adalah penting kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan mental, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan keberkesanan di tempat kerja.

Apabila pekerja dapat menguruskan tugas kerja dan tanggungjawab peribadi secara seimbang, mereka lebih bertenaga, kurang terdedah kepada stres dan mampu menghasilkan kerja lebih berkualiti.

Majikan yang memberi tumpuan kepada keseimbangan ini juga dapat mengekalkan tenaga kerja yang lebih bermotivasi dan setia, mengurangkan kadar keletihan dan perletakan jawatan oleh pekerja.

Maklumat Penulis:

Pensyarah, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang, Nur Shuhada Ya’acob

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp