Persatuan pelajar asah bakat kepimpinan dalam diri mahasiswa
Mahasiswa secara umumnya merupakan seorang pemimpin sama ada kepada dirinya atau pemimpin kepada pelajar lain. Walau bagaimanapun, tidak ramai mahasiswa yang menyedari senario ini.
Mereka pada umumnya masih beranggapan bahawa pemimpin ialah seorang yang mempunyai jawatan ataupun kedudukan di dalam sesuatu organisasi sahaja.
Tidak dapat disangkal lagi bila mana seseorang yang bergelar mahasiswa memasuki alam universiti, pastinya fokus utama mereka lebih terarah kepada hal akademik.
Namun, adakah mereka sedar wujudnya satu platform yang boleh menjadi nilai tambah yang mampu memberi kesan cukup berguna buat diri mereka sama ada di alam universiti mahupun di alam pekerjaan nanti?
Platform yang dimaksudkan adalah persatuan pelajar yang mana umum mengetahui hampir kesemua universiti awam mahupun swasta mempunyai pelbagai persatuan pelajar dari sekecil-kecil persatuan sehinggalah ke sebesar-besar persatuan seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti.
Platform persatuan pelajar seperti ini harus dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh semua mahasiswa yang ada supaya mereka dapat menggilap potensi lebih meluas seterusnya dapat memastikan penuntut yang serba boleh dapat dilahirkan bagi persediaan sebelum menginjak ke alam dewasa kelak.
Mahasiswa juga seharusnya menyedari hakikat dalam kehidupan pada hari ini yang mana ia agak mencabar dengan pelbagai bentuk persaingan.
Justeru itu, betapa pentingnya bagi seseorang mahasiswa itu untuk sentiasa bijak mencari peluang dan tidak hanya mencari dan memberi alasan yang tidak munasabah untuk mereka tidak melibatkan diri secara langsung ataupun tidak langsung dalam sesuatu program yang dianjurkan di peringkat universiti dengan menyertai mana-mana persatuan pelajar yang ada di university masing-masing.
Hal ini kerana manfaat daripada penglibatan mahasiswa dalam persatuan itu sendiri akan berbalik kepada diri mereka semula sekali gus dapat memastikan mereka berada di landasan tepat.
Segala apa yang dipelajari di dalam persatuan pelajar itu sendiri, sememangnya akan banyak membantu mahasiswa untuk terus menerus mengaplikasikannya sepanjang kehidupan terutamanya dari sudut kepimpinan dan pengurusan.
Secara realitinya juga, kedua-dua aspek ini amat dititikberatkan oleh setiap majikan dalam pemilihan pekerja mereka kelak.
Dalam skop persatuan pelajar, kemahiran kepimpinan ini dapat dilihat dari segi bagaimana mahasiswa dapat memimpin sesebuah organisasi yang mereka sertai untuk mencapai sesebuah matlamat atau sasaran berdasarkan peranan yang dipegang dalam organisasi tersebut.
Kemahiran pengurusan pula dapat dilihat dari segi bagaimana mahasiswa menguruskan bidang tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin supaya pengurusan organisasi tersebut dapat diurus dengan teratur dan tersusun.
Selain itu, mahasiswa juga dapat meluaskan rangkaian mereka apabila mengenali dengan pelbagai individu yang berbeza latar belakang dan ragamnya dalam sesebuah persatuan yang mereka sertai.
Dengan ini ia dapat melatih mereka untuk tidak kekok semasa berkomunikasi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak pada masa akan datang.
Akhir sekali, mereka yang berpersatuan akan lebih mudah untuk terdedah dengan pelbagai pengisian program yang bermanfaat sepanjang mereka berada di alam universiti sekali gus banyak ilmu Baharu dapat diterokai agar boleh digunakan dalam kehidupan kelak.
Sesungguhnya tanggapan negatif yang menganggap penglibatan mahasiswa secara aktif dalam berpersatuan akan mengganggu konsistensi mereka untuk berjaya dalam akademik adalah salah sama sekali kerana hakikatnya mahasiswa yang berjaya membawa diri dengan baik di alam universiti adalah mereka yang mampu untuk menyeimbangkan kedua-duanya dengan cemerlang.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my