
SKOMAS julang trofi juara di pentas olahraga pendidikan khas
Setelah meraih hat-trick untuk Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas MSSD Pasir Gudang, Johor, kini SMK Kota Masai (SKOMAS) sekali lagi merebut takhta kejuaraan apabila dinobat sebagai Juara Keseluruhan Kategori Sekolah Menengah Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSD Pasir Gudang Tahun 2025.
Menurut Pengurus Pasukan, Rosmaini Zakaria, kemenangan itu adalah hasil kerja keras murid yang sentiasa ingin mempamerkan prestasi terbaik diri mereka.
"Kesungguhan dalam latihan adalah kunci utama bagi memastikan keberhasilan objektif yang disasarkan dalam masing-masing atlet," katanya.
Kejohanan olahraga berlangsung selama dua hari di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Johor.
Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali juga menjelaskan bahawa setiap susunan latihan dan program pembangunan pelajar di sekolah akan melibatkan kerjasama semua guru, pihak sekolah, PPM dan ibu bapa dalam memastikan setiap keperluan dan perjalanan atlet sentiasa berada dalam prestasi baik.
"Saya perlu berterima kasih kepada semua barisan guru, PPM dan ibu bapa yang sentiasa bersama pihak sekolah untuk terus menyokong kemenjadian murid dalam bidang olahraga. Kerjasama antara semua pihak pasti akan memberikan hasil besar untuk kejayaan anak-anak kita," katanya.
SKOMAS membawa pulang 36 pingat keseluruhan dengan meraih13 emas, 10 perak dan 13 gangsa.
Sementara itu, Muhammad Haikal Khir dan Muhammad Darwisy Iman dinobat sebagai olahragawan kejohanan dalam kategori BPL19 dan BPL15 dengan masing-masing membawa pulang tiga emas bagi acara individu dan dua emas bagi acara berkumpulan.
Lebih manis lagi apabila lima rekod baru dipecahkan melalui acara BPL19 200m (Muhammad Haikal Khir), BPP15 800m (Nur Aida Najma), BPL19 lompat tinggi (Muhammad Darwisy Iman) dan acara berpasukan BPL15 4X100m.
Pengetua, Subramaniyan Dorasamy menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian luar biasa MBPK SKOMAS.
"Apabila semua pihak memberi 100 peratus kerjasama, maka inilah hasilnya. Murid-murid akan mendapat banyak pengalaman dan prestasi dalam hidup mereka sehingga mampu menjadi yang terbaik di pentas tertinggi.
"SKOMAS akan terus komited melestarikan budaya cemerlang dalam semua bidang untuk menyokong kemenjadian murid di samping memperkembangkan bakat dan potensi setiap murid di sekolah," ujarnya.
Maklumat penulis:
1. Rozak Hadi
2. Ashrul Harun