MAWO dari MRSM Ulul Albab Felda Trolak raih Anugerah Emas di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan Prague 2025. Foto: Facebook FELDA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
MAWO dari MRSM Ulul Albab Felda Trolak raih Anugerah Emas di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan Prague 2025. Foto: Facebook FELDA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan

Kejayaan raih Anugerah Emas di Prague bukti anak desa mampu takluk pentas dunia - Ahmad Zahid

23 Jun 2025 11:30am

Kejayaan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak, Perak yang meraih Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech membuktikan anak-anak desa berpotensi besar mengukir nama di persada antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan MAWO dalam kategori middle class itu diharap menjadi inspirasi kepada anak-anak muda, khususnya di luar bandar bahawa tiada batas untuk bermimpi dan tiada sempadan untuk berjaya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan terus menyalurkan sokongan berterusan bagi menyemai minat dan mengangkat potensi besar anak-anak muda dalam bidang seni dan budaya, sama ada melalui motivasi, penyediaan peralatan mahupun bantuan dana.

"Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan dalam bidang muzik, tetapi juga simbol semangat dan potensi luar biasa anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia.

"Kejayaan ini bukan hanya milik MRSM dan Felda, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia. Syabas keluarga besar MRSM, Felda dan MARESMAF - anda benar-benar telah 'Mendonia!'," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Malaysia yang merupakan satu-satunya wakil dari Asia dalam pertandingan itu bukan sahaja berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara Eropah, malah MAWO turut menerima markah tertinggi daripada barisan juri profesional antarabangsa.

"Saya sendiri berpeluang menyantuni mereka dan memberikan sokongan secara langsung pada malam Konsert "Desaku Mendunia” yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, RTM Angkasapuri pada 28 Mei lepas.

"Ketika itu, saya sendiri menyaksikan dan merasai kehebatan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak muda ini - penuh bakat, disiplin dan semangat luar biasa sebelum mereka berangkat ke pertandingan berprestij di Prague,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Festival yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun itu menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lower class, middle class dan higher class, berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta keupayaan teknikal peserta. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp