No Image Caption

Tong gas ungu pelaksanaan penyasaran subsidi LPG timbulkan reaksi bercampur

11 Jun 2025 03:37pm

Pelaksanaan tong gas petroleum cecair (LPG) berwarna ungu bagi tujuan komersial dan industri yang bermula 1 Mei lalu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, terutama dari aspek kesan terhadap peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah.

Program penjenamaan semula tong LPG ini merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi LPG secara lebih berfokus.

Tong gas berwarna ungu digunakan khusus untuk pengguna bukan domestik dan dijual pada harga pasaran tanpa subsidi, berbeza dengan tong merah dan hijau yang masih dikekalkan untuk penggunaan domestik serta disubsidi.

Langkah ini bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi yang sebelum ini turut dinikmati oleh sektor tidak layak seperti premis perniagaan dan industri.

Dengan pembezaan warna tong, kerajaan berharap penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan bagi memastikan subsidi hanya dinikmati oleh isi rumah dan pengguna layak.

Melalui inisiatif ini, hanya pengguna domestik dibenarkan menggunakan tong subsidi. Manakala restoran, kilang dan perniagaan lain diwajibkan menggunakan tong ungu yang dijual pada harga pasaran, yang boleh mencecah hingga RM70 bagi setiap tong seberat 14 kilogram.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa dasar ini bukan untuk membebankan rakyat, sebaliknya untuk mengekang penyalahgunaan subsidi yang menelan perbelanjaan besar kerajaan setiap tahun.

Mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan bagi membendung kegiatan penyelewengan seperti pemindahan gas secara haram (decanting).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pelaksanaan tong gas ungu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna, khususnya peniaga kecil yang tidak pasti sama ada mereka dikategorikan sebagai pengguna domestik atau komersial.

Walaupun kerajaan menjelaskan bahawa penjaja kecil yang hanya menggunakan satu hingga tiga tong sebulan tidak terjejas, garis panduan yang kabur berisiko menyebabkan penguatkuasaan tidak seragam di lapangan.

Kekurangan maklumat dan ketidaktentuan tentang mekanisme pengesahan premis turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku penalti terhadap pengguna yang tidak sedar tentang peraturan baharu ini.

Tanpa garis panduan yang jelas dan komunikasi yang berkesan, pelaksanaan dasar ini boleh membuka ruang kepada kekeliruan dan salah tafsir.

Dalam masa yang sama, peningkatan kos operasi akibat penggunaan tong tidak bersubsidi dikhuatiri menyebabkan kesan rantaian terhadap harga makanan dan perkhidmatan.

Sekiranya peniaga kecil turut terbeban, kos tambahan itu akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna. Keadaan ini memberi tekanan kepada golongan B40 dan M40 yang sudahpun berdepan kos sara hidup tinggi pascapandemik dan ketidaktentuan ekonomi global.

Bagi memastikan keseimbangan antara ketelusan fiskal dan keadilan sosial, kerajaan digesa memperkenalkan mekanisme rayuan atau pengecualian untuk peniaga mikro yang benar-benar layak menerima subsidi.

Langkah ini penting untuk mengelakkan dasar yang terlalu umum menjejaskan kelompok yang memerlukan perlindungan.

Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan dasar ini akan disemak dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas pelbagai pihak.

Beberapa sesi dialog dan taklimat sedang dirancang bagi meningkatkan kefahaman dalam kalangan pengguna, pengedar dan pengusaha premis makanan.

Pelaksanaan tong ungu juga disertakan dengan ciri keselamatan moden dan sistem pengesanan bagi memastikan pemantauan logistik LPG lebih sistematik. Ciri ini akan memudahkan pengesanan terhadap sebarang aktiviti penyelewengan oleh pihak berkuasa.

Secara keseluruhan, tong gas ungu merupakan langkah taktikal ke arah reformasi subsidi yang lebih tersasar, namun keberkesanannya sangat bergantung kepada pelaksanaan yang adil, telus dan berdasarkan data.

Jika dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira realiti ekonomi rakyat, dasar ini mampu menyumbang kepada kelestarian fiskal negara tanpa menjejaskan kumpulan yang paling memerlukan bantuan kerajaan.

 

Maklumat penulis:

1) Pelajar Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia, Munawwar Hasbullah

2) Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Afiqah Kamarul

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp