
Usahawan belia pemangkin ekonomi baharu Malaysia
Golongan usahawan muda kini memainkan peranan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Didorong oleh semangat inovatif, celik teknologi dan kemahiran digital, mereka semakin diiktiraf sebagai antara tonggak utama dalam membina ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.
Dengan kelebihan dari segi tenaga, kreativiti dan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan, usahawan muda berpotensi menjadi peneraju kepada ekonomi masa depan.
Keupayaan mereka untuk mengadaptasi teknologi baharu, termasuk penggunaan platform digital dan e-dagang, membolehkan mereka memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing perniagaan secara signifikan.
Peranan anak muda dalam sektor keusahawanan semakin terserlah di peringkat negeri. Di Kelantan, misalnya, ramai usahawan muda terlibat dalam bidang perkhidmatan, pelancongan, makanan dan teknologi. Mereka bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan tetapi juga
membantu mengangkat produk tempatan melalui pendekatan moden dan strategi pemasaran digital.
Sumbangan usahawan muda dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut memberi kesan besar kepada ekonomi nasional. Menurut SME Corp., PKS yang dikendalikan oleh golongan muda telah menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) dan membuka lebih 66 peratus peluang pekerjaan di seluruh negara.
Walau bagaimanapun, cabaran tetap wujud. Ramai usahawan muda berhadapan kekangan modal, persaingan sengit dan keperluan untuk menguasai teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sistem ERP dan analisis data besar.
Bagi mengatasi cabaran ini, pelbagai agensi kerajaan seperti SME Corp., TEKUN, MARA, PUNB dan MDEC menyediakan bantuan dalam bentuk geran digital, latihan keusahawanan dan sokongan pembiayaan.
Kisah kejayaan individu seperti Khairul Aming, pengasas Sambal Nyet, dan Datuk Seri Vida dengan produk kosmetik Qu Puteh menjadi contoh bagaimana pemasaran digital dan penjenamaan kreatif boleh melonjakkan produk tempatan ke persada antarabangsa.
Kejayaan mereka turut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan belia, pelbagai pihak harus memainkan peranan. Institusi pendidikan perlu membudayakan pemikiran keusahawanan sejak awal, manakala syarikat swasta boleh menyediakan program mentor dan inkubator.
Kerajaan pula wajar terus memperluas akses pembiayaan dan digitalisasi bagi memastikan penyertaan belia dalam ekonomi negara tidak terhenti.
Usahawan muda adalah aset berharga negara. Dengan sokongan menyeluruh dan ekosistem yang kondusif, mereka mampu menjadi penggerak utama kepada transformasi ekonomi Malaysia menuju masa depan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Maklumat penulis:
1. Pelajar Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Syahidatul Syuhadah Mohd Zhukrie
2. Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu USIM, Dr Afiqah Kamarul