Luaskan kerjasama anjur latihan di negara ASEAN
Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), GSM Association (GSMA) dan Universiti Multimedia (MMU) memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU), Selasa lalu bagi meneruskan pelaksanaan program latihan regulasi telekomunikasi atau Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Masterclass.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Profesor Dr Datuk Mazliham Mohd Su’ud, dan Ketua Pegawai Regulatori GSMA, John Giusti di Mobile World Congress anjuran GSMA di Barcelona, Sepanyol.
Turut menyaksikan majlis berkenaan adalah Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa MCMC, Tan Sri Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Pengerusi TM, Datuk Zainal Abidin Putih.
Sejak tahun 2015, ketiga-tiga pihak ini telah menjalinkan Kerjasama melaksanakan program CTPR untuk golongan profesional dalam bidang telekomunikasi di Malaysia.
Perjanjian ini membolehkan latihan berkenaan diperluaskan ke negara-negara anggota ASEAN selama tiga tahun akan datang.
Ia bertujuan memupuk pembelajaran rentas sempadan dan Kerjasama lebih luas dengan ia dijadual bermula di Jakarta, Indonesia tahun ini.
Program CTPR direka khas untuk eksekutif peringkat pertengahan hingga ke tahap eksekutif kanan di pelbagai bidang termasuk agensi peraturan kebangsaan, kementerian kerajaan, pembekal perkhidmatan telekomunikasi dan pembuat serta pembekal peralatan.
Ia menawarkan latihan mendalam tentang semua aspek dalam landskap telekomunikasi tertumpu yang maju.
Sementara itu, Mohamad Salim melahirkan sokongan penuh MCMC terhadap inisiatif itu.
“Kami gembira berkolaborasi dengan MMU dan GSMA dalam menawarkan platform kepada peserta meneroka trend industri, inovasi pengganggu (destructive innovation) dan keperluan strategik bagi mempersiapkan mereka memimpin organisasi secara efektif.
“Selain pemindahan pengetahuan, ia juga merupakan platform terbaik memupuk dan memperluaskan hubungan selain membolehkan peserta berinteraksi dengan pemimpin berwibawa dari dalam dan luar negara sekali gus mampu mencipta ekosistem bertenaga untuk kerjasama dan pertumbuhan masa depan,” ujarnya.
Manakala John Giusti pula berkata, program CTPR mempunyai nilai yang boleh dimanfaatkan apabila sektor awam dan swasta bekerjasama dengan akademia untuk mengembangkan latihan yang benar-benar menangani keperluan profesional peraturan dalam sektor telekomunikasi.
Malah mereka berharap agar program ini dapat diperluaskan serata negara di kawasan ASEAN.
Dalam pada itu, Mazliham berkata, MMU sebagai sebuah Universiti yang Diterajui Penyelidikan dan Berpaksikan Industri (Research-Led, Industry-Driven University - RIU) berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan pemegang taruh utama dalam industri teknologi dan komunikasi.
“Kami akan memastikan kandungan kursus sentiasa disemak dan ditambah baik secara berterusan selaras dengan perkembangan polisi dan peraturan dalam arus telekomunikasi tertumpu (converged telecommunication),” ujar beliau.
Sebelum itu, CTPR Masterclass merangkumi 14 modul tentang perspektif baharu yang muncul dalam dasar dan peraturan, pengurusan spektrum, tadbir urus internet, keselamatan rangkaian dan forensik, hak milik intelek, strategi perniagaan untuk industri telekomunikasi, kecerdasan buatan (AI), analitik data besar, arah baru dalam perkhidmatan digital, rangkaian dan ekonomi digital dan industri kandungan kreatif.
Menerusi program ini, modul-modul berkenaan akan dihuraikan oleh pakar industri tempatan dan antarabangsa serta pakar dari MMU.
MCMC, GSMA dan MMU menjemput semua pemegang kepentingan industri untuk menyertai CTPR dan mengambil langkah-langkah mengecilkan jurang pengetahuan berhubung dengan trend, Pembangunan dan peluang terkini dalam sektor telekomunikasi.