UUM bina kerjasama strategik dengan lima universiti di Turkiye
Kerjasama akademik, pembangunan mahasiswa dan inovasi adalah antara bidang yang diberi tumpuan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lima universiti di Turkiye.
Selain itu, program mobiliti mahasiswa dan kakitangan universiti turut disenarai sebagai pelaksanaan di bawah MoU tersebut.
Menurut kenyataan media UUM, lima universiti di Turkiye terdiri daripada Karabuk University, Ankara Yildrim Beyazit University, Dicle University, Gebze Technical University dan Mardin Artuklu University.
“MoU ditandatangani Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan bersama rektor universiti terlibat sebagai mewakili universiti ini.
“Manakala Karabuk University diwakili Rektornya, Profesor Dr Fatih Kirisik; Ankara Yildrim Beyazit University oleh Profesor Dr Ali Cengiz Koseoglu dan Dicle University diwakili Profesor Dr Mehmet Karakoc.
“Seterusnya, Rektor Gebze Technical University ditandatangani Profesor Dr Haci Ali Mantar dan Naib Rektor Mardin Artuklu University oleh Profesor Dr Yilmaz Demirhan,” ujar kenyataan itu.
Turut hadir pada sesi menandatangani MoU di Istanbul ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.
Sementara itu, MoU tersebut dilihat bakal menjadi platform membangunkan idea yang memberi manfaat bukan sahaja kepada universiti terlibat tetapi menyumbang kepada pembangunan kedua-dua negara.
“Menerusi kerjasama ini, hubungan strategik, berkesan dan bersifat perancangan masa hadapan akan dibina menerusi pelantikan profesor pelawat, penyeliaan bersama program pasca siswazah, penerbitan dan penyelidikan akademik bersama.
“Bagi program mobiliti mahasiswa pula, ia akan dilaksana di bawah Program Pertukaran Mevlana dan dibiayai dana Farabi manakala mobiliti kakitangan universiti melalui pembiayaan Erasmus,” maklum UUM.
Dalam pada itu, pelaksanaan MoU berkenaan turut merangkumi penganjuran seminar dan webinar bersama serta program kerjasama akademik seperti penawaran ijazah berganda.
Malahan bidang kerjasama ini bakal menyediakan peluang kepada penyelidik dan mahasiswa memperoleh ilmu pengetahuan selain meningkatkan kemahiran menerusi pemindahan ilmu dan kepakaran.
Ia sekali gus memberi nilai tambah kepada industri di kedua-dua negara untuk kekal berada di hadapan berbanding pesaing di dalam bidang sama.
Akhir sekali, UUM berharap dapat memainkan peranan kolektif dalam usaha meningkatkan nilai mahasiswa melalui pendidikan, penyampaian ilmu dan pengalaman serta membina kemahiran mereka.