Sukarelawan ASCD 2024 To Yogjakarta, Indonesia bergambar kenangan.
Sukarelawan ASCD 2024 To Yogjakarta, Indonesia bergambar kenangan.

Mahasiswa UiTM Shah Alam berkhidmat di Indonesia?

18 Mar 2024 11:39am

Seramai 17 orang sukarelawan mahasiswa daripada pelbagai bidang dan fakulti menyertai Program ASEAN's Sustainable Communiti Development (ASCD) 2024 To Yogjakarta, Indonesia.

Program kesukarelawan yang berlangsung pada 5 hingga 9 Mac itu, dianjurkan Kelab Penyayang, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Pengarah program, Muhammad Aziman Syaqiran berkata, ia merupakan kesinambungan daripada Program ASCD Siri 2022 yang lalu bertempat di Kemboja dan Vietnam.

"Sukarelawan Mahasiswa daripada pelbagai bidang dan fakulti menyumbang idea dan tenaga bagi melaksanakan pelbagai aktiviti melalui beberapa kluster seperti kluster pendidikan, kluster kesihatan serta kluster kebajikan.

"Program ini juga berjaya melahirkan mahasiswa yang prihatin dan mempunyai semangat kerja berpasukan.

"Insya-ALLAH, ia akan diteruskan dengan mobiliti antarabangsa pada hujung tahun ini di Filipina pula nanti," katanya baru-baru ini.

Difahamkan, untuk ASCD kali ini, Kelab Penyayang UiTM Shah Alam memilih Panti Asuhan dan Pondok Pesantren Bima Bhakhti Al-Mujib (Putra dan Putri), Yogyakarta, Indonesia sebagai lokasi lapangan.

Persatuan Wanita UiTM (PEWANI) dan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (DANA KITA) juga menjadi rakan kolaboratif bagi program ini dengan memberi sumbangan wang dan beg sekolah kepada warga panti asuhan dan pondok pesantren tersebut.

Artikel Berkaitan:

Salah satu aktiviti sewaktu mengunjungi Indonesia.
Salah satu aktiviti sewaktu mengunjungi Indonesia.

Seorang peserta, Hana Raihana Mohd Aminuddin berkata, pengalaman yang diperoleh melalui program tersebut membuka minda dan minatnya kepada aktiviti kesukarelawanan sama ada dalam mahupun luar negara.

Selain itu, para peserta juga telah mengunjungi dua buah universiti terkenal di Yogyakarta iaitu Universitas Gadjah Mada (UGM) dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY).

Dalam kunjungan akademik itu, para peserta dihimpunkan dalam satu seminar kepimpinan bersama wakil Pejabat Direktorat Kemahasiswaan dan perwakilan pelajar dari kedua-dua buah universiti.

Seminar tersebut bertemakan kepimpinan pelajar dan aktiviti kesukarelawanan atau dalam bahasa Indonesia dikenali sebagai aktivitas pengabdian kepada masyarakat.

Dua orang wakil bagi setiap universiti membentangkan berkenaan latar belakang persatuan, program dan aktiviti kesukarelawanan masing-masing.

Pelbagai input dan pandangan berjaya dicapai oleh kedua-dua pihak dalam mempertingkatkan pengembangan ilmu mengenai aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Dalam kunjungan di UNY, para peserta dibawa menggunakan kereta buggy universiti menuju ke Gedung Laboratorium Kewirausahawanan (Keusahawanan) universiti tersebut.

Pusat beli belah setinggi empat tingkat itu memberi peluang kepada mahasiswa dan alumni UNY untuk melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan masing-masing. Pelbagai produk makanan, pakaian, kain batik, aksesori, automotif, seni dan kraf, peralatan sukan, perkhidmatan latihan serta elektronik disediakan. Selain kedai buku, pasar mini, bank-bank dan bilik konsultasi perkhidmatan urut dan terapi.

Sementara itu, para peserta berpeluang melawat kolej-kolej kediaman di UGM dan UNY.

Diskusi di antara General Manager (Pengurus Besar) dan pihak pengurusan kolej kediaman bersama peserta turut diadakan bagi melihat persamaan dan perbezaan sistem pengurusan kolej kediaman di sana.

Antara program dalam kluster kebajikan yang dilaksanakan.
Antara program dalam kluster kebajikan yang dilaksanakan.

Di samping itu, para peserta dibawa ke sekitar kampus UNY, bagi melawat Muzium Pendidikan Indonesia UNY dan Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya (FBSB) UNY untuk menjalankan Bengkel Pertukaran Budaya melalui Seni Kraf Batik dan Keramik (Seramik) Indonesia serta Malaysia.

Berbaki dua hari, para peserta ASCD 2024 diisi dengan aktiviti lawatan sejarah, seni dan budaya ke Candi Borobudur dan Candi Prambanan serta menyaksikan persembahan teater oleh Kumpulan Ramayana Ballet (Sendratari) yang menceritakan Epik Ramayana yang mengisahkan kisah percintaan di antara Dewi Shinta dan Raden Rama Wijaya.

Selain itu, para peserta juga berkesempatan ke Gunung Merapi, Gua Pindul dan Pantai Timang.

Diharap dengan inisiatif dalam melaksanakan pelbagai program sukarelawan masyarakat dalam dan luar negara oleh Kelab Penyayang UiTM Shah Alam, para peserta dapat meluaskan jalinan dan jaringan sosial sama ada dalam kalangan mahasiswa sendiri yang juga peserta program, komuniti dan pertubuhan kebajikan (NGO) yang terlibat.

Hakikatnya, mahasiswa proaktif dalam aktiviti khidmat masyarakat dan komuniti ini pasti dapat membangun diri menjadi pemimpin yang mempunyai personaliti unggul, empati tinggi, semangat kerja berpasukan dan menjadi pemikir dalam menyelesaikan masalah.

Selain dapat memenuhi beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Petunjuk Prestasi (PI) BHEP UiTM.

Maklumat Penulis

Pensyarah Fakulti Pendidikan UiTMSA, Sumardianshah Silah

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp