Empat mahasiswa UiTM timba ilmu persediaan menghadapi bencana di Global Camp: Disaster Preparedness di Kochi, Jepun.
Empat mahasiswa UiTM timba ilmu persediaan menghadapi bencana di Global Camp: Disaster Preparedness di Kochi, Jepun.

Mahasiswa UiTM timba ilmu hadapi bencana di Jepun

NURBAYA ABDUL REZAK
06 Apr 2024 09:00am
A
A
A

Dalam era perubahan iklim dunia yang semakin meningkat, kepentingan persediaan menghadapi bencana perlu ditekankan oleh semua lapisan masyarakat.

Oleh itu, seramai empat mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Nur Shuhada Nordin dan Nik Zulaikha Nik Pa dari Kolej Pengajian Kejuruteraan; Nur Radhia Ahmad Nazari dan Muhammad Al Haqeem Abd Malek dari Kolej Pengajian Alam Bina terpilih mewakili Malaysia untuk menyertai Global Camp: Disaster Preparedness di Kochi, Jepun anjuran Kochi National Institute of Technology pada 22 sehingga 29 Mac 2024.

Global Camp ini mengumpulkan mahasiswa proaktif pelbagai bidang seperti Kejuruteraan dan Pembinaan dari pelbagai negara seperti Jepun, Malaysia, Indonesia, Taiwan, Thailand, Mongolia dan Korea.

Program sebegini membuka ruang perbincangan dalam mengenal pasti pendekatan inovatif yang berkesan dalam menghasilkan bahan pendidikan yang menarik bagi persiapan bencana alam untuk generasi akan datang.

Peserta Global Camp dibawa ke Terowong Saliran Banjir sepanjang lima kilometer menghubungkan Sungai Kusaka dan Sungai Niyodo di Jepun.
Peserta Global Camp dibawa ke Terowong Saliran Banjir sepanjang lima kilometer menghubungkan Sungai Kusaka dan Sungai Niyodo di Jepun.



Program ini turut melibatkan penerokaan inovasi persediaan bencana alam yang digunakan di negara Jepun seperti lawatan ke Terowong Saliran Banjir sepanjang lima kilometer yang menghubungkan Sungai Kusaka dan Sungai Niyodo yang juga terkenal sebagai sungai terbersih di Jepun.

Terowong itu akan digunakan sekiranya air sungai melepasi paras bahaya. Bukan itu sahaja, peserta juga di bawa ke beberapa lokasi Menara Evakuasi yang dibina untuk menyelamatkan diri semasa proses evakuasi bencana alam.

Peserta Global Camp ini turut didedahkan dengan penggunaan aplikasi Minecraft yang berpotensi besar menyediakan platform dalam memupuk kreativiti jurutera muda dan kemahiran penyelesaian masalah dalam aspek pembangunan dan perancangan bandar.

Aplikasi ini membantu mereka bentuk struktur bangunan serta mensimulasikan senario bencana seperti Tsunami dan banjir.

Artikel Berkaitan:


Peserta juga diberi peluang berinteraksi bersama syarikat Nishio Rent All yang menggunakan teknologi canggih dalam pengendalian mesin pembinaan melalui alat kawalan jarak jauh yang sangat menakjubkan.

Global Camp ini mengumpulkan mahasiswa pelbagai bidang dari pelbagai negara seperti Jepun, Malaysia, Indonesia, Taiwan, Thailand, Mongolia dan Korea.
Global Camp ini mengumpulkan mahasiswa pelbagai bidang dari pelbagai negara seperti Jepun, Malaysia, Indonesia, Taiwan, Thailand, Mongolia dan Korea.



Nur Shuhada berkata, program ini telah menyediakan platform kepada bakal jurutera muda dalam menyuarakan idea-idea mereka untuk merangka persediaan menghadapi bencana melalui diskusi bersama wakil negara luar.

"Kami turut didedahkan dengan teknologi maju dalam bidang kejuruteraan yang diguna pakai oleh Jepun yang sememangnya terkenal dengan kepakaran teknologi canggih di persada dunia,” katanya.

Untuk rekod, Global Camp seperti ini secara tidak langsung membantu kadar siap siaga komuniti setempat memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda menghadapi bencana alam.

Tambahan pula penglibatan Malaysia dalam membantu memperkukuhkan kerjasama erat Malaysia dan Jepun dalam aspek kejuruteraan dan teknologi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok