Mahasiswa UPM tanam 200 batang pokok hutan di Hutan Simpan Ayer Hitam
Sebanyak 200 batang pokok hutan berjaya di tanam di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong, Selangor menerusi Program Exploration Planting Tomorrow 2023.
Mereka yang menanam pokok hutan tersebut terdiri daripada mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dan komuniti setempat serta bertujuan menekankan kepentingan konservasi alam sekitar dan kelestarian hutan sebagai nadi masa hadapan.
HSAH atau lebih dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC) merupakan Hutan Simpanan Kekal yang dianugerahkan kepada UPM melalui perjanjian jangka panjang.
Hutan yang berkeluasan 1182.07 hektar ini diletakkan di bawah tanggungjawab UPM untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan di dalam bidang perhutanan.
Menurut Pengarah Program, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman, Exploration Planting Tomorrow 2023 yang diadakan itu secara tidak langsung menyokong Agenda Nasional Negara menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang tahun 2025.
“Sebanyak tujuh jenis pokok hutan telah ditanam yang bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
“Pokok hutan tersebut terdiri daripada Merbau, Meranti Melantai, Kempas, Rambai, Jentik-Jentik, Kelat (Syzygium dyerianum) dan Sentul (Sandoricum Beccarianum).
“Pemilihan jenis anak-anak pokok hutan yang ditanam mengikut kesesuaian dan keupayaan pokok untuk memegang struktur tanah, serapan air dan saiz pokok apabila dewasa kelak,” ujarnya yang merupakan Ketua Laboratori Belia dalam Kepemimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM.
Kata beliau, inisiatif penanaman pokok hutan yang dianjurkan UPM dan Petronas Carigali Sdn Bhd itu langkah tepat untuk pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta memupuk kesedaran dalam kalangan para peserta mengenai pentingnya kepelbagaian biologi.
“Peluang ini perlu dibanggakan dalam usaha memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan); SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari); SDG13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat),” jelasnya.
INFO
Mengenai SISFEC
Bagi melahirkan pelajar yang berwibawa dan lengkap dengan ilmu perhutanan, latihan berbentuk amali dilapangan amatlah diperlukan. Justeru, dengan adanya SISFEC Fakulti Perhutanan UPM dapat merancang, merangka dan menyusun pelbagai aktiviti di lapangan dengan lebih berkesan, tetap dan teratur.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa dijalankan di sini meliputi amali lapangan seperti Survei Hutan; Interpretasi Persekitaran dan Hidupan Liar; Entomologi dan Patologi Hutan; Dendrologi; Fisiologi; Ekologi; Silvikultur; Pembaikbiak Pokok; Sukatan Hutan; Perancangan Pengurusan Hutan; Perhutanan Tani; Pengurusan Kawasan Legeh; Pengurusan Tanah Rekreasi dan Hidrologi Hutan.
SISFEC merupakan hutan hujan tropika yang mempunyai ekosistem yang unik dan kompleks. Banyak maklumat yang belum diperolehi mengenai kandungan flora dan fauna, kepelbagaian biologi serta kesan aktiviti manusia ke atas ekosistem hutan.
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan hutan dalam pemuliharaan alam sekitar, pelbagai aktiviti pemindahan ilmu kepada masyarakat dilaksanakan antaranya program penanaman pokok, penerbitan risalah, mengadakan pameran kesedaran alam sekitar dan lain-lain.
Melalui aktiviti-aktiviti tersebut secara tidak langsung akan memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi.