Mahasiswa yatim piatu terharu terima komputer riba
Pemberian komputer riba secara percuma mungkin kelihatan agak kecil bagi sesetengah orang tetapi golongan memerlukan peranti berkenaan berasakan ia sangat bernilai malah membekas di hati mereka.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaantani, Nur Syamiha Aqwa Mazlan yang menerima komputer riba percuma pemberian Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melahirkan rasa syukur dan terharu kerana dapat memudahkan pembelajaran secara dalam talian.
Kata anak yatim piatu yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu, pemberian peranti tersebut juga akan memudahkan apabila ingin melaksanakan tugasan diberikan para pensyarah kelak.
"Sebelum ini, saya akan berkongsi komputer riba bersama kakak kerana tidak mampu membeli yang baharu berikutan kekangan kewangan.
"Justeru, keprihatinan ditunjukkan pihak universiti sangat dihargai apatah lagi dapat mengenal pasti mahasiswa-mahasiswa yang memerlukan komputer riba," katanya yang berusia 20 tahun.
Seramai 24 mahasiswa terdiri daripada 11 fakulti terpilih menerima komputer riba jenama Asus melalui manfaat wakaf UniSZA daripada sumber janaan hasil Wakaf dan Infaq Syarikat Leos Technology pada majlis Penyerahan Komputer Riba Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2022/2023 di Pejabat Naib Canselor, UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini.
Penyerahan disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam.
Hadir sama, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Muzafar Mohd Din; Pengarah Pejabat Wakaf dan Endowmen, Dr Ahmad Faizol Ismail serta Pengarah Urusan Syarikat Lieos Sdn Bhd, Azli Abdul Aziz.
Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Muhammad Hussin Mohd Ilias berkata, sepanjang pengajian dia menggunakan komputer riba kakak yang sudah uzur.
"Jika terdapat tugasan memerlukan aplikasi canggih, saya terpaksa meminjam komputer rakan atau ke makmal untuk menyiapkan tugasan.
"Alhamdulillah berkat kesabaran, akhirnya saya menerima komputer riba yang bersesuaian dengan jurusan Diploma Teknologi Maklumat," katanya.
Dia yang berusia 22 tahun turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada UniSZA kerana meringankan beban serta mempermudahkan pengajiannya di universiti tersebut.