
Mesir & Malaysia setuju USIM jadi pusat sehenti pembelajaran bahasa Arab
Kerajaan Mesir dan Malaysia bersetuju agar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dijadikan pusat sehenti bagi pelajar yang mendapat tajaan daripada Universiti Al-Azhar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti ternama tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelajar terpilih berkenaan akan mengikuti familiriasation course di USIM selama setahun, sebelum berlepas melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.
"Kaedah bagi penghantaran pelajar-pelajar ke Mesir ini, kita akan melakukan familiarisation course dalam Bahasa Arab di USIM (dahulu) selama setahun, kerana persetujuan telah diperolehi antara kerajaan Mesir dan kerajaan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perasmian Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, Kampung Tersusun DMDI Bukit Senggeh, Selandar pada Ahad.
Majlis yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam itu, turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Pusat Tahfiz Yayasan DMDI itu, mula dibangunkan pada 2021 dan siap pada Februari lepas dan mempunyai 37 murid bagi pengambilan pelajar fasa pertama.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga memberi keutamaan kepada pelajar cemerlang lepasan maahad tahfiz terutama yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5, untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar itu. - Bernama