Projek MyCoral Community Diver bertujuan untuk memelihara terumbu karang dan menyokong komuniti
tempatan.
Projek MyCoral Community Diver bertujuan untuk memelihara terumbu karang dan menyokong komuniti tempatan.

MSU bantu pemuliharaan ekosistem marin

Projek MyCoral Community Diver bantu komuniti setempat di Setiu

12 Aug 2024 09:31am

Management and Science University (MSU) melalui International Medical School (IMS) telah mengorak langkah signifikan ke arah membantu pemuliharaan ekosistem marin dan pemerkasaan komuniti melalui pelancaran projek MyCoral Community Diver.

Inisiatif itu diadakan di Nelayan Resort dan Taman Laut Pulau Redang bermula Mac hingga Mei lalu.

Ia merupakan sebahagian projek MyCoral Eco Marine bertujuan memelihara terumbu karang dan menyokong komuniti tempatan khususnya para nelayan di Setiu, Terengganu.

Menurut MSU, projek MyCoral Community Diver itu mendapat sokongan dalam bentuk geran bernilai RM40,000 oleh APPGM-SDG Income Generation.

“Bermatlamat untuk memperkasakan komuniti tempatan terpilih yang terdiri daripada nelayan, bot, pelajar dan keluarga mereka sebagai penyelam skuba bertauliah dan pakar pemulihan karang.

“Projek ini bertujuan untuk mendidik, menjana pendapatan dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pemuliharaan terumbu karang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Menerusi projek itu, para peserta telah menjalani program latihan 12 modul komprehensif yang meliputi teknik selam skuba, kaedah pemuliharaan karang, pemasaran digital dan celik kewangan.

“Melalui lesen selam skuba dan menguasai teknik pemulihan karang, para peserta bakal menjana pendapatan melalui pakej pelancongan eko-pelancongan dan pemuliharaan terumbu karang, memupuk kelestarian ekonomi dalam kalangan komuniti setempat,” ujarnya.

Projek MyCoral Community Diver ini turut melibatkan kerjasama pintar MSU dengan Jabatan Perikanan Malaysia, Dorken Reef Resources, RAH Venture dan Persatuan Nelayan Setiu memastikan pendekatan holistik terhadap pemuliharaan terumbu karang khususnya.

“Ia juga memastikan kelestarian ekosistem marin secara amnya dan pembangunan holistik komuniti setempat,” jelasnya.

Hadir merasmikan projek tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah; Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya MSU, Adnan Rosley.

MSU melalui IMS, menganjurkan MyCoral Eco Marine bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan terumbu tiruan.

Sebagai program pemindahan pengetahuan, ia bertujuan memperkasa ekosistem marin serta membantu komuniti nelayan Pulau Redang.

Projek itu bakal memasuki edisi 7.0 pada tahun ini sejak bermula pada 2016.

Strategi perlaksanaan secara menyeluruh MSU dalam pemuliharaan terumbu karang ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan populasi khas di Malaysia, amnya di dunia serta menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp