Mohd Faisol
Mohd Faisol

Pendidikan percuma sehingga ke peringkat IPT: Ini pandangan pensyarah 

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
26 Jul 2023 02:40pm
A
A
A



Menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) tanpa sebarang bebanan kewangan merupakan impian buat semua pelajar

Persoalannya adakah ia mampu dibawa sehingga ke peringkat pengajian tinggi dengan konteks nasional kini.

Berdasarkan Bajet 2023, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima sebanyak RM15.3 bilion peruntukan yang mana RM11.7 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM3.6 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Ia secara tidak langsung dapat memastikan infrastruktur, bangunan dan peralatan di kampus berada dalam keadaan yang kondusif, selamat serta berfungsi dengan efisien.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, inisiatif untuk merealisasikan pendidikan percuma di universiti mampu dijayakan.

Mohd Faisol
Mohd Faisol



“Walaupun pun bajet untuknya dilihat berlaku peningkatan yang agak tinggi, tetapi ia tetap relevan. Ini kerana pengurusannya sekarang lebih mencabar di mana mereka sendiri perlu memikirkan bukan sahaja melahirkan graduan berkaliber dan diterima pasaran tetapi juga memikirkan bagaimana ingin meningkatkan jumlah dana sedia ada yg diperoleh oleh KPT.

“Oleh itu, melalui pendidikan secara percuma ini juga perlu meliputi universiti namun ia terhad kepada syarat tertentu seperti bidang dan jurusan tertentu di samping demografi dan latar belakang pelajar itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari pada Rabu.

Artikel Berkaitan:


Mohd Faisol mengulas, langkah awal untuk menjayakan usaha berkenaan dapat dilakukan dengan mewujudkan pusat sehenti bagi wakaf pendidikan di setiap universiti.

Ujarnya, menerusi wakaf tersebut, ia boleh mewujudkan semula Mybrain15 yang boleh membantu individu pascasiswazah untuk melanjutkan ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

“Dengan kewujudan pusat sehenti ini, pihak universiti boleh mendapatkan dana tajaan daripada pelbagai agensi dan syarikat dalam serta luar negara termasuk berkaitan kerajaan (GLC) supaya menaja pelajar berpotensi.

“Ia secara tidak langsung menjadikan mereka mampu mendapatkan modal insan diperlukan,” tambah beliau.

Mohd Faisol menjelaskan, sekiranya pendidikan percuma dilaksanakan, perkara berkenaan meliputi pelbagai aspek seperti yuran pengajian, yuran asrama, makan minum, laptop, internet, buku, dan pelbagai lagi aspek kehidupan pelajar.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, sekiranya pendidikan percuma tidak dilaksanakan, apa yang dilakukan oleh kerajaan kini sudah pun memadai.

“Sebenarnya kerajaan telah menanggung hampir 80 peratus aspek kewangan pelajar di universiti. Pada saya itu sudah baik berbanding banyak negara lain,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok