Penyelidik UPM rangkul 6 pingat pada ITEX 2023
Beberapa produk inovasi yang dibangunkan barisan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya merangkul pelbagai pingat pada 34th International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Inovasi yang meraih pingat emas ialah Biobaja Cecair yang ditambah baik; Hybrid Kelah Malaysia dan Ekstrak Piawai Paederia Foetida (Pokok Sekentut): Ubat Potensi untuk Diabetes Jenis 2.
Manakala Kajian Ecosaria: Bioinsektisida Hijau; Jalur ujian berasaskan asid nukleik (NAFLA) untuk pengesahan ayam kampung dan Kit Amplifikasi Pantas Khinzir/Babi pula menggondol pingat perak.
Menurut kenyataan media UPM, setiap inovasi itu dihasilkan penyelidik yang sememangnya pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Misalnya inovasi Biobaja Cecair yang ditambah baik, ia adalah cetusan idea Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Dr Ali Tan Kee Zuan.
Produk tersebut mampu mengurangkan kadar baja kimia sehingga 60 peratus dan boleh dihasilkan dalam masa singkat iaitu di antara 24 hingga 48 jam sahaja.
Biobaja Cecair itu telah dikaji dan terbukti mampu mempercepatkan proses pengkomposan dan penguraian bahan organik sekali gus menghasilkan baja organik yang berkualiti tinggi.
Kajian itu adalah hasil kolaborasi dengan rakan industri yang berjaya meningkatkan kadar pertumbuhan dan hasil tanaman melalui pelbagai mekanisma serta mempercepatkan proses kompos dan penguraian bahan organik.
Bagi inovasi Hybrid Kelah Malaysia dan Ekstrak Piawai Paederia Foetida (Pokok Sekentut): Ubat Potensi untuk Diabetes Jenis 2, pula masing-masing dibangunkan oleh penyelidik hebat iaitu Dr Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian dan Dr Nur Kartinee Kassim dari Fakulti Sains.
Sementara itu, Pengarah Putra Science Park UPM, Profesor Ir Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata, kejayaan di ITEX 2023 adalah hasil usaha keras, komitmen dan dedikasi yang tinggi barisan penyelidik dalam membangunkan inovasi terbaik.
“Tahniah kepada semua penyelidik yang terlibat. Anda sememangnya sangat berbakat, hebat dan memiliki pelbagai idea kreatif dalam penghasilan inovasi,” ujarnya yang mengalu-alukan kolaborasi daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan UPM ke peringkat seterusnya agar manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan.
Penganjuran ITEX 2023 yang memasuki tahun ke-34 merupakan pameran reka cipta dan inovasi berprestij antarabangsa.
Ia bertujuan menggalakkan dan menonjolkan keupayaan penyelidik muda bagi meneroka kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
Acara tahunan anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan C.I.S Network Sdn Bhd menjadi medan kepada lebih 500 penyertaan kumpulan pencipta inovasi dari serata dunia yang menampilkan produk inovasi berimpak global.
INFO
Pingat emas
1) Biobaja Cecair yang ditambah baik oleh Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, UPM, Dr Ali Tan Kee Zuan.
2) Hybrid Kelah Malaysia oleh Dr Fadhil Syukri, Fakulti Pertanian, UPM.
3) Ekstrak Piawai Paederia Foetida (Pokok Sekentut): Ubat Potensi untuk Diabetes Jenis 2, Dr Nur Kartinee Kassim, Fakulti Sains, UPM.
Pingat perak
1) Kajian Ecosaria: Bioinsektisida Hijau oleh Ts Dr Norhayu Asib, Fakulti Pertanian, UPM.
2) Jalur ujian berasaskan asid nukleik (NAFLA) untuk pengesahan ayam kampung, Dr Noordiana Nordin, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), UPM.
3) Kit Amplifikasi Pantas Khinzir/Babi, Dr Nur Fadhilah Khairil Mokhtar, Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM.