Pungguk Jelapang jadi alternatif pekebun urus ladang kelapa sawit

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
16 Mar 2023 11:44am

Burung Pungguk Jelapang terbukti secara meluas sebagai agen berkesan dalam kawalan biologi terhadap tikus perosak di ladang kelapa sawit, khasnya di negara ini.

Ini kerana berdasarkan kajian penyelidik, tikus boleh merangkumi sehingga 99 peratus diet burung Pungguk Jelapang dan sepasang burung Pungguk dan anak-anaknya boleh memakan kira-kira 1,300 ekor tikus setahun.

Oleh itu, ia dilihat sebagai salah satu kaedah hijau yang dapat menggalakkan penggunaan burung Pungguk Jelapang oleh pekebun kecil kelapa sawit dalam menguruskan haiwan perosak itu di ladang mereka.

Bukan sekadar lestari, kaedah itu juga dapat mengurangkan penggunaan racun perosak yang menyebabkan kesan buruk kepada alam sekitar sekali gus mengelak daripada berlaku lebih banyak kemudaratan kepada hidupan lain yang memakan tikus telah diracun.

Melihat kepada alternatif yang lebih lestari itu, Barn Owl and Rodent Research Group (BORG) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) telah melancarkan Barn Owl for Oil Palm Smallholders Initiatives (BOSI), baru-baru ini.

Menurut Penyelaras BORG yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) USM, Profesor Madya Dr Hasber Salim, program BOSI berupaya membantu pekebun kecil mengawal dan mengurangkan populasi tikus perosak dengan berkesan.

Katanya, BOSI adalah projek khas yang menyaksikan penyerahan dan pemasangan 20 kotak sarang burung Pungguk Jelapang yang dikenali dengan nama saintifiknya, Tyto javanica javanica kepada para pekebun kecil di Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu, Kedah.

“Kotak yang dibekalkan telah direka bentuk dengan matlamat untuk menarik burung Pungguk Jelapang sebagai tapak sarang yang selamat dan sesuai untuk pembiakan.

Artikel Berkaitan:

“Pekebun turut ditunjukkan dengan demonstrasi pemasangan yang betul.

“Malah ia turut merangkumi penggunaan teknik pemetaan GPS bagi memastikan kotak sarang burung diagihkan secara sama rata pada ketumpatan satu kotak bagi setiap lima hektar di kawasan tersebut,” ujarnya.

Hasber menambah, sepanjang tempoh projek tersebut dijalankan pasukan penyelidik akan memantau rapi kadar penghunian burung Pungguk Jelapang dalam kotak sarang yang dipasang, melihat prestasi pembiakan serta memantau kepadatan populasi tikus di kawasan itu.

Jelasnya, BORG teruja dapat menjalankan kerjasama dengan MPOGCF yang disifatkan bukan sekadar berkongsi objektif sama dalam memulihara biodiversiti malah turut membiayai dan memberi sokongan penuh untuk memastikan projek itu berjalan lancar dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sementara itu, Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad turut memberitahu, pihaknya komited dalam menyokong usaha pemuliharaan dan kelestarian khususnya berkaitan dengan industri kelapa sawit.

Beliau menzahirkan keyakinan melalui pelaksanaan BOSI dalam meningkatkan kesedaran kepada pekebun kecil mengenai keberkesanan menggunakan Pungguk Jelapang sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah haiwan perosak berkenaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp