Pengenalan semula GST ketika ekonomi negara tidak stabil mungkin meningkatkan beban kos sara hidup rakyat. Gambar kecil, Nur Hazila.
Pengenalan semula GST ketika ekonomi negara tidak stabil mungkin meningkatkan beban kos sara hidup rakyat. Gambar kecil, Nur Hazila.

Relevan lagikah GST?

JAHARUDIN PADLI dan NUR HAZILA
09 Dec 2023 09:00am
A
A
A

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dipercayai dapat mengurangkan kos perniagaan.

Di bawah pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pula, peniaga tidak dapat menuntut sepenuhnya cukai yang dibayar ke atas input perniagaan. Namun dengan GST, ia memanfaatkan para peniaga kerana boleh mendapatkan semula cukai input ke atas bahan mentah atau barang dan perkhidmatan di setiap peringkat perniagaan. Akhirnya kos perniagaan menjadi lebih rendah.

GST juga memperbaiki perakaunan, mengurangkan penipuan cukai dan memudahcara penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pelaksanaan GST adalah satu transformasi sistem percukaian dan menjadi titik tolak untuk negara Malaysia mencapai status negara maju.

Kebaikan pelaksanaan GST membolehkan negara menjana pendapatan yang lebih stabil serta pengurusan cekap dan berkesan.

GST dapat menangani masalah ekonomi masyarakat serta membendung kenaikan harga yang keterlaluan bagi sesetengah barangan keperluan.

GST juga boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada kerajaan iaitu boleh digunakan untuk membiayai projek infrastruktur, pembangunan sosial, dan sebagainya. Ini dapat membantu mengurangkan defisit bajet dan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.

Dengan GST, kerajaan dapat memperoleh bahagian pendapatan peribadi yang lebih luas, termasuk pendapatan daripada sektor tidak formal seperti perkhidmatan profesional.

Artikel Berkaitan:

Pada Jun 2015, harga minyak mentah dunia jatuh merudum, sehinggakan beberapa negara dan industri minyak mempertimbangkannya sebagai suatu krisis.

Hasil kutipan cukai GST yang baharu dilaksanakan ternyata menampung belanjawan Persekutuan daripada mengalami defisit berikutan merosotnya hasil cukai minyak, sekali gus menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.

Pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas bertarikh 7 Mac 2016, Yang di-Pertuan Agong mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang melaksanakan GST.

Kesan negatif GST

GST memberi kesan negatif kepada sesetengah golongan masyarakat membabitkan kos.

Pengenalan semula GST ketika ekonomi negara tidak stabil mungkin meningkatkan beban kos sara hidup rakyat.

Orang ramai mungkin perlu membayar harga yang lebih tinggi untuk barangan dan perkhidmatan yang akan menjejaskan kuasa beli dan taraf hidup mereka.

Dalam era globalisasi ini, GST mungkin membebankan golongan berpendapatan rendah, terutama jika tiada sistem potongan atau bantuan untuk mereka. Melainkan langkah pengecualian yang sesuai diambil untuk melindungi kumpulan terpinggir ini boleh melebarkan jurang sosial di negara ini.

Selain itu, GST memberi kesan yang tidak baik kepada golongan peniaga iaitu dengan berlakunya gangguan perniagaan.

Perniagaan kecil dan sederhana mungkin terjejas oleh pengenalan semula GST kerana mereka perlu melaksanakan atau menyelaraskan sistem perakaunan dan percukaian yang sesuai. Ini boleh memberi tekanan tambahan kepada perniagaan yang masih pulih daripada kesan pandemik dan pertukaran politik sebelumnya.

Pengenalan semula GST turut menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan kadar inflasi dalam negara.

Ini menyebabkan peningkatan kos sara hidup terutama bagi golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada barangan keperluan.

GST perlu dilaksanakan semula

Sememangnya kita semua perlu mengakui bahawa cadangan mengembalikan GST perlu diperhalusi demi masa hadapan dan kebaikan negara.

Sebarang kemungkinan memperkenalkan semula GST perlu dilaksanakan dengan teliti dan tepat bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya daripada sistem cukai ini.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyokong kemungkinan pengenalan semula GST dalam masa terdekat kerana ia boleh mengembangkan sumber hasil kerajaan secara berkesan dan membentuk sebahagian daripada rancangan penyatuan fiskal.

Kita tidak boleh menafikan bahawa sistem kutipan cukai melalui GST ini adalah solusi terbaik kerajaan untuk mengatasi masalah defisit belanjawan yang dihadapi oleh negara ketika ini.

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil, GST wajar diperkenalkan semula, namun pelaksanaannya mesti tidak memberi impak negatif yang ketara kepada golongan berpendapatan sederhana dan golongan berpendapatan rendah.

Sebagai langkah permulaan, kerajaan boleh kenakan kadar peratusan kurang daripada 6 peratus yang ditetapkan sebelum ini kerana bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, nilai 6 peratus amat besar dan memberi impak yang tinggi kepada perbelanjaan harian mereka.

Dalam dunia nyata, sememangnya SST adalah sistem percukaian yang telah ditelan zaman, tidak cekap dan tidak telus.

Oleh itu, ia tidak perlu dipertahankan lagi jika kita benar-benar ingin menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi kelak.

Rata-rata rakyat sudah faham tentang pelaksanaan GST ini. Alah bisa tegal biasa. Rakyat sudah celik kehadapan tentang dasar kerajaan yang memberi impak positif untuk negara ini.

Mereka sedar bahawa ada banyak lagi faktor lain yang boleh menyebabkan kenaikan dalam kos sara hidup dan menghapuskan GST bukan penyelesaian kepada masalah kenaikan kos sara hidup yang kita masih lagi hadapi hingga hari ini.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jaharudin Padli dan pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Hazila Mohd Raffie

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok