Kurikulum geografi di sekolah turut memberi penekanan terhadap perkara yang dibincangkan dalam SDGs. Gambar kecil: Mohmadisa.
Kurikulum geografi di sekolah turut memberi penekanan terhadap perkara yang dibincangkan dalam SDGs. Gambar kecil: Mohmadisa.

SDGs dengan ilmu geografi

09 Feb 2024 08:00am

Agenda pendidikan negara perlu meletakkan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sutainable Development Goals (SDGs) sebagai satu perkara penting untuk dicapai menjelang tahun 2030.

Agenda SDGs ini dibincangkan di Perhimpuan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015 dengan satu resolusi utama iaitu ‘mengubah dunia kita agenda 2030 untuk pembangunan lestari.

Terdapat 17 perkara atau matlamat yang diputuskan bersama oleh 193 buah negara iaitu tiada kemiskinan; kelaparan sifar; kesihatan baik dan sejahtera; pendidikan berkualiti; kesaksamaan gender; air bersih dan sanitasi; tenaga berpatutan dan bersih; pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi; industri, inovasi dan infrastruktur; mengurangkan ketidaksamaan; bandar dan masyarakat mampan; penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab; tindakan iklim; kehidupan dalam air; kehidupan di darat; keamanan, keadilan dan pertubuhan kukuh; dan kerjasama demi matlamat.

Bagi mencapai matlamat itu, didapati peranan pendidikan dalam mendidik warganegara memahami SDGs adalah sangat perlu agar warganegara Malaysia menjadi sebahagian daripada warga dunia yang bertanggungjawab dalam segala aspek yang dibincangkan.

Justeru, salah satu mata pelajaran atau bidang yang sesuai untuk memahami SDGs adalah geografi.

Geografi juga dikenali dengan Ilmu Alam dan dari segi bahasanya ‘geo’ itu merujuk kepada bumi dan ‘grafi’ membawa maksud pengkajian. Bidang geografi ini mengkaji interaksi di antara manusia dengan alam sekitar fizikal sama ada manusia mempengaruhi alam sekitar fizikal dan sebaliknya.

Di manakah relevannya geografi dalam SDGs?

Secara umumnya bidang geografi boleh dibahagikan kepada dua disiplin ilmu yang utama iaitu geografi fizikal dan geografi manusia.

Artikel Berkaitan:

Geografi fizikal ialah kajian sains tentang ruang yang meneliti bumi dan segala yang berada di sekeliling manusia sama ada terhasil daripada faktor semula jadi dan buatan manusia serta proses pembentukannya.

Sementara itu, geografi manusia mementingkan corak ruangan iaitu bagaimana manusia dan aktivitinya menyebabkan perubahan yang berlaku ke atas ruang dan tempat.

Geografi fizikal dibahagikan kepada sub bahagian iaitu geomorfologi, hidrologi, ekologi, geologi dan klimatologi. Geografi manusia pula terbahagi kepada geografi ekonomi, geografi politik, geografi sosial, geografi budaya dan geografi sejarah.

Jika diteliti daripada 17 matlamat itu, terdapat 12 perkara yang boleh dikategorikan dalam bidang geografi manusia dan lima dalam bidang geografi fizikal. Sebagai contoh, dalam bidang geografi fizikal, matlamat yang boleh diketengahkan ialah air bersih dan santasi (hidrologi), tindakan iklim (klimatologi), kehidupan dalam air dan kehidupan di darat (ekologi).

Setanding standard antarabangsa

Sementara itu, dalam kurikulum pendidikan di sekolah, subjek Geografi diajar di peringkat sekolah menengah. Melalui Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Didapati kurikulum geografi di sekolah turut memberi penekanan terhadap perkara yang dibincangkan dalam SDGs memandangkan kurikulum geografi pada masa kini yang dilaksanakan adalah setanding dengan standard antarabangsa.

Dalam hal ini, dalam bahagian Geografi Fizikal, topik berkaitan bentuk muka bumi dan saliran boleh memberi penekanan terhadap matlamat air bersih dan sanitasi kerana topik yang berkaitan dengan saliran atau sungai merujuk kepada sumber bekalan air bersih yang utama di permukaan bumi.

Topik cuaca dan iklim pula sesuai untuk matlamat tindakan iklim, dan topik tumbuhan semula jadi dan hidupan liar adalah relevan dengan matlamat kehidupan di darat dan kehidupan dalam air.

Dalam bahagian Geografi Manusia pula, topik penduduk dan petempatan membantu dari segi mencapai matlamat bandar dan masyarakat mampan, topik pengangkutan dan telekomunikasi bagi matlamat industri inovasi dan infrastruktur, topik sumber semula jadi dan kegiatan ekonomi untuk matlamat penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab serta matlamat pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi.

Apatah lagi, kerelevanan mata pelajaran geografi turut memberi penekanan kepada isu dan pengurusan alam sekitar. Untuk itu, isu yang dibincangkan sememangnya relevan dengan SDGs iaitu sumber air (matlamat air bersih dan sanitasi), sisa domestik dan kitar semula (penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab), pemanasan global (tindakan iklim), dan teknologi hijau (tenaga berpatutan dan bersih).

Untuk itu, tidak kira kita sebagai warga pendidik sama ada di sekolah atau di institusi pengajian tinggi yang mengajar bidang geografi perlu mengambil kesempatan untuk memberikan pendedahan yang sewajarnya berkaitan dengan SDGs ini bagi setiap topik yang diajar.

Kesedaran ini perlu dilakukan segera, agar generasi yang dilahirkan dapat mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk dunia pada hari ini dan pada masa akan datang. Generasi muda pada hari ini perlu ke hadapan dalam penjagaan alam sekitar agar lebih lestari.

Memetik kata-kata pujangga, kita sebenarnya meminjam alam sekitar yang ada pada hari ini daripada generasi yang akan datang.

Maklumat Penulis

Pensyarah di Jabatan Geografi & Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohmadisa Hashim

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp