Pelajar siswazah PPUK, UTHM; sukarelawan dan komuniti setempat antara individu yang menyertai ‘Sea Turtle Conservation Expedition 2023’.
Pelajar siswazah PPUK, UTHM; sukarelawan dan komuniti setempat antara individu yang menyertai ‘Sea Turtle Conservation Expedition 2023’.

'Sea Turtle Conservation Expedition 2023' UTHM tingkatkan kesedaran pemuliharaan penyu

ROSHLAWATY MD RAIEH
19 May 2023 01:58pm
A
A
A

Program ‘Sea Turtle Conservation Expedition 2023’ yang diadakan di Pantai Tiga Ruang, Pulau Perhentian, Terengganu dilihat mampu meningkatkan kesedaran masyarakat kepada keperluan pemeliharaan dan pemuliharaan populasi penyu.

Malah menerusi kesedaran itu, secara tidak langsung ia memberi kesan positif kepada ekosistem laut yang semakin terancam.

Pelaksanaannya itu juga dikatakan memberi peluang kepada para peserta mempelajari habitat penyu laut dan bagaimana menjaga kelestariannya.

Menurut Penasihat Persatuan Generik, Dr Adi Syahid Mohd Ali, ‘Sea Turtle Conservation Expedition 2023’ membabitkan penyertaan pelajar siswazah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); sukarelawan dan komuniti setempat.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang pelaksanaan program anjuran PPUK, UTHM dan Jabatan Perikanan Besut serta kerjasama Persatuan Siswazah Generik PPUK itu.

Antaranya adalah pengumpulan data dan maklumat, penjagaan sarang penyu, perlindungan telur dan anak penyu serta pembersihan kawasan pantai.

Selain mengikuti aktiviti yang disediakan para peserta turut membina tempat penetasan (hatchery) penyu lestari sebagai usaha memelihara dan memulihara populasi penyu laut yang semakin terancam.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

“Pusat penetasan telur penyu laut dibina menggunakan bahan kayu terpakai beserta teknik modular installation untuk membina hatchery penyu yang efisien.

“Konsep pembinaan itu dipilih bertujuan mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar dan mengguna semula kayu terpakai.

“Teknik modular installation ini memudahkan pemasangan serta membolehkan hatchery penyu dibina dengan cepat dan mudah dipindahkan jika diperlukan,” jelas Adi Syahid.

Mengulas lanjut, Adi Syahid berkata, penggunaan kayu terpakai sebagai bahan pembinaan bertujuan mempromosikan konsep pembangunan lestari dan mendorong kepada penggunaan bahan semula jadi.

“Dalam jangka panjang, penggunaan bahan kayu terpakai dan teknik modular installation dapat membantu mempercepatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan populasi penyu laut di kawasan berkenaan tanpa perlu merosakkan alam sekitar,” ujarnya.

Pusat penetasan telur penyu laut yang telah siap dibina di Pulau Perhentian telah diserahkan secara rasmi kepada Ketua Pejabat Bahagian Taman Laut dan Perlindungan Sumber Daerah Besut, Terengganu, Abdul Ghafar Saleh sebagai tanda kesinambungan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan populasi penyu laut di kawasan tersebut.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok