Senyuman manis Nabilah (tengah) ketika menerima kunjungan warga UTeM ke rumahnya di Alai, Merlimau baru-baru ini.
Senyuman manis Nabilah (tengah) ketika menerima kunjungan warga UTeM ke rumahnya di Alai, Merlimau baru-baru ini.

Selain ditawar pengajian ke UTeM, yuran pengajian juga dibiayai. Murahnya rezeki Nabilah!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
11 Aug 2023 04:53pm

“Saya teringin untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Namun apakan daya, keluarga sangat susah dan mereka tidak mampu untuk menghantar saya ke sana,” demikian luahan Nabilah Zainuddin, 18, ketika mengulas universiti yang menjadi impiannya selama ini.

Menurut Nabilah, ayahnya iaitu Zainuddin Hassan, 54, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan kini tidak lagi bekerja kerana baru sahaja menjalani pembedahan dan masih dalam rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ibunya, Siti Noormasurah Ahmad, 49, pula hanya bekerja sebagai pembantu kantin bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga selain turut berdepan dengan masalah kesihatan.

“Saya mahu belajar bersungguh-sungguh kerana ingin membantu keluarga dalam menaik taraf kehidupan kami.

“Mohon doakan saya supaya berjaya menjadi mahasiswa yang cemerlang dunia dan akhirat,” ujar Nabilah yang berasal dari Alai, Merlimau, Melaka.

No Image Caption

Sementara itu, kepayahan hidup yang dialami Nabilah sekeluarga akhirnya telah mendapat perhatian pihak UTeM, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, berteraskan kepada sikap prihatin dan cakna berterusan, maka UTeM telah menghulurkan bantuan awal memulakan pengajian kepada Nabilah bagi meringankan beban yang ditanggung.

Artikel Berkaitan:

“Kami dimaklumkan Nabilah telah mendapat tawaran pengajian Diploma Kejuruteraan Pembuatan di UTeM namun tidak mampu untuk memulakan pengajian ekoran kesusahan dia dan keluarganya.

“Sehubungan itu, UTeM berbesar hati menghulurkan sumbangan pakej bantuan awal memulakan pengajian kepada Nabilah berupa pembiayaan penuh yuran pengajian semester satu sebanyak RM914.

“Pada masa sama, UTeM akan membayar elaun sara hidup RM500 sebulan bagi memudahkan urusannya memulakan kehidupan sebagai penuntut universiti,” ujar Massila ketika sesi kunjungan ke rumah keluarga Nabilah di Kampung Alai.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif; Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori, Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Profesor Ir Dr Hambali Arep@Ariff.

No Image Caption

Mengulas lanjut, Massila berkata, Nabilah menerima bantuan universiti terbabit menerusi Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah tajaan Pakej Anak Emas UTeM kategori mahasiswa susah dan mempunyai latar pendidikan cemerlang.

Akhir sekali, kami di Sinar Bestari melahirkan rasa syukur atas rezeki yang diberikan ALLAH kepada Nabilah.

Walaupun dia sekeluarga susah, namun ALLAH tetap permudahkan laluannya untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma.

Kepada UTeM, terima kasih banyak-banyak kerana cukup prihatin dan mengambil berat keadaan Nabilah sekali gus membantu membiayai yuran pengajian. Alhamdulillah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp