Warga politeknik bergotong royong memasak bubur lambuk di Pusat Islam, PSA baru-baru ini.
Warga politeknik bergotong royong memasak bubur lambuk di Pusat Islam, PSA baru-baru ini.

Tradisi bubur lambuk PSA eratkan perpaduan kaum

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Apr 2023 03:18pm

Tahun ini, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) meneruskan tradisi rewang memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga politeknik dan komuniti setempat.

Selain tradisi, aktiviti menyediakan bubur lambuk itu dilihat sebagai satu keunikan apabila berjaya menyatukan penuntut dan pensyarah yang berbilang kaum dan agama menerusi kerjasama memasak hidangan popular tersebut.

Menurut Pengarah PSA, Dr Norhayati Zakaria, walaupun ia bersifat santai, program seumpama itu merupakan platform terbaik untuk mahasiswa mengenali dan meraikan kepelbagaian agama, adat dan budaya.

No Image Caption

“Ini merupakan satu lagi keunikan negara kita, setiap kali bulan Ramadan bubur lambuk pasti menjadi menu wajib yang turut dinikmati oleh seluruh rakyat di negara ini.

“Kami di PSA tahun ini menyediakan tiga jenis hidangan bubur lambuk iaitu ayam, daging dan udang.

“Ini bagi menghormati sesetengah kaum atau individu yang tidak boleh menikmati hidangan tertentu, justeru kami menyediakan variasi untuk mereka,” ujarnya selepas agihan bubur lambuk kepada warga politeknik di Pusat Islam, PSA, Persiaran Usahawan, Shah Alam, Selangor.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penuntut Diploma Perniagaan Antarabangsa, PSA, Yuvetha Selvakumar Naidu melahirkan keterujaan apabila berpeluang menyediakan juadah bubur lambuk untuk komuniti setempat.

“Ini kali pertama saya menyertai program seperti ini sekali gus merasai kemeriahan rakan-rakan beragama Islam berpuasa dan menyambut Ramadan.

“Di samping itu, dengan sedekah makanan terutamanya kepada mahasiswa dan orang susah, ia telah mendidik diri untuk bersyukur dan berkongsi dengan orang lain,” ujarnya.

No Image Caption

Sebanyak 1,500 pek bubur lambuk berjaya disiapkan dan diedarkan kepada warga PSA dan komuniti setempat termasuk anggota beruniform dan sekolah tahfiz sepanjang Ramadan ini.

Selain penyediaan bubur lambuk, PSA turut mengadakan majlis khatam al-Quran, majlis tahlil, iftar perdana dan solat terawih berjemah kepada bersama warga politeknik yang beragama Islam.

No Image Caption

INFO

Sejarah bubur lambuk

  • Bubur lambuk atau lambut merupakan sejenis hidangan yang masyhur pada bulan puasa. Ia biasanya dimasak secara bergotong-royong di masjid untuk diagih-agihkan kepada para jemaah sebagai hidangan berbuka puasa.
  • Bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru diakui paling popular di negara ini.
  • Berdasarkan sejarah, resipi bubur lambuk Kampung Baru dicipta oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Said Bank. Rempah ratus yang digunakan beliau untuk memasak bubur ini dikekalkan sehingga hari ini sejak ia diperkenalkan pada akhir tahun 1950-an.
  • Sebelum meninggal dunia, Said Bank menurunkan kepakaran memasak kepada imam masjid ketika itu, Mohd Tahir Jaafar.
  • Allahyarham turut memberi amanah agar bubur lambuk yang dikekalkan sebagai juadah berbuka puasa diagihkan secara percuma kepada orang ramai.
  • Masjid Jamek Kampung Baru dibuka pada 1880-an. Ia adalah hasil permintaan penduduk kampung Melayu tertua di negara ini yang mahukan masjid dibina di tengah-tengah Kuala Lumpur.
  • Masjid ini kemudiannya terus menempa sejarah pada 2000 apabila tersenarai dalam The Malaysia Book of Record kerana memasak 100 periuk bubur lambuk secara bergotong-royong.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp