Shahawati (duduk kiri) ketika menandatangani MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Shahawati (duduk kiri) ketika menandatangani MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.

TVET dapat pengiktirafan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
11 May 2023 04:51pm

Program-program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di negara ini bukan sahaja dapat melahirkan graduan berkemahiran tinggi.

Bahkan, Kementerian Tenaga Kerja Indonesia mengiktiraf program TVET apabila menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Kolej Antarabangsa Inovatif (IIC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Presiden IIC, Shahawati Umar berkata, kerjasama tersebut bertujuan meningkatkan pendidikan serta TVET bagi melahirkan tenaga kerja mahir buat kedua-dua buah negara.

Beliau memberitahu, kerjasama berkenaan akan menggabungkan kepakaran pendidikan berasaskan pembelajaran alam pekerjaan (work-based learning) apabila pelajar bakal menjalani latihan praktikal di hotel-hotel tiga hingga lima bintang di negara ini selama 18 hingga 24 bulan.

“Program kemasukkan pelajar ke Malaysia akan bermula Julai ini secara berperingkat-peringkat. Pada mulanya, IIC hanya menyediakan 500 tempat untuk pelajar-pelajar.

Shahawati (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Shahawati (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Bagaimanapun, permintaan yang tinggi menyebabkan pihak IIC menawarkan sehingga 4,000 tempat buat pelajar dari Indonesia bermula tahun ini sehingga tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini diharap dapat membantu mengisi kekosongan pekerjaan dalam industri pelancongan kedua-dua buah negara," ujarnya pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pusat Latihan Vokasional dan Produktiviti Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, Budi Hartawan.

Shahawati menambah, melalui program berkenaan, ia dapat membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan kerana disediakan tempat tinggal, pengangkutan dan elaun sepanjang menjalani latihan praktikal di negara ini.

Katanya, pelajar-pelajar Indonesia yang menyertai program telah mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan akan diberikan kesamarataan seperti pelajar negara ini.

Menariknya, program ini dapat membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan apabila mereka bukan sahaja diberi tempat tinggal, pengangkutan tetapi juga elaun sepanjang menjalani latihan praktikal di negara ini.

“Pelajar bukan sahaja diberi tempat tinggal dan pengangkutan tetapi juga elaun antara RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan, di mana RM600 diberikan kepada mereka dan selebihnya akan digunakan untuk membayar yuran pengajian.

Gimik pelancaran majlis menandatangani MoU antara IIC dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gimik pelancaran majlis menandatangani MoU antara IIC dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Program ini juga mendapat kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan pihak kami memberi kesamarataan kepada pelajar Indonesia yang mengikuti program ini sama seperti pelajar Malaysia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Budi menjelaskan, kerjasama tersebut memberi manfaat kepada pelajar-pelajar dari Indonesia kerana mereka bukan sahaja menerima sijil dari pusat latihan pelancongan di Indonesia tetapi IIC.

"Pengalaman menjalani latihan praktikal di negara ini akan memberi kelebihan kepada mereka untuk lebih berdaya saing di pasaran kerja apabila kembali ke Indonesia kelak.

"Saya berharap kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara," ujarnya.

ICC menyediakan program work based learning melalui kerjasama Kementerian Tenaga Kerja Indonesia; KPT; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Politeknik Negeri Media Kreatif Indonesia dan Politeknik Negeri Pariwisata Medan Indonesia.

Pelajar-pelajar bakal ditempatkan di beberapa hotel tiga dan lima bintang seluruh negara termasuk Renaissance Hotel, Element by Westin, Attana Group, Le Meridian, Platform Hospitality Group dan Malaysia Association of Hotel.

Tiga program pengajian yang telah diluluskan oleh KPT adalah diploma pengurusan hotel, diploma pengurusan peruncitan dan diploma seni kulinari.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp