Peserta termasuk guru-guru terlibat bergambar selepas berjaya menangkap 1 tan ikan bandaraya.
Peserta termasuk guru-guru terlibat bergambar selepas berjaya menangkap 1 tan ikan bandaraya.

UKM-GSB pulihara ekosistem sungai

Pelajar, guru SMAP Kajang dan KPTD tangkap 1 tan ikan bandaraya

MUHAMAD TARMIZE MOHD NORMUHAMAD TARMIZE MOHD NOR
03 Sep 2025 02:38pm

Pulihara ekosistem perairan negara daripada ikan asing dan memupuk kesedaran cintakan sungai dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda seperti pelajar sekolah dan kanak-kanak.

Itu dua matlamat utama program Mengintegrasikan Kelestarian Ekosistem Sungai anjuran sekumpulan 10 mahasiswa Sarjana Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) di Denai Sungai Kebangsaan, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Pengarah program, Syed Faiq Syed Jalil berkata, idea membersihkan kira-kira 300 meter Sungai Langat itu timbul selepas melihat kerosakan teruk yang dibuat ikan bandaraya atau nama saintifiknya hypostomus plecostomus terhadap alam sekitar terutama jajaran sungai negara.

"Kami bekerjasama dengan Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) yang mempunyai modul pendidikan dan kepakaran menangkap ikan bandaraya ini dalam menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan.

Seramai 30 pelajar SMAP Kajang bersama lima guru terlibat dalam aktiviti menangkap ikan bandaraya.
Seramai 30 pelajar SMAP Kajang bersama lima guru terlibat dalam aktiviti menangkap ikan bandaraya.

"Apa yang paling penting ialah kesedaran yang berterusan. Kami juga menjemput 35 pelajar dan guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, selain 30 anggota 101 Komp Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) serta 25 orang awam untuk menjayakan program ini," katanya kepada Sinar Bestari.

Menurut beliau, program menangkap ikan bandaraya dalam usaha menjaga ekosistem ikan tempatan itu merupakan kali pertama diadakan oleh penuntut UKM-GSB.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri Syed Faiq dan Mohamad Haziq
Dari kiri Syed Faiq dan Mohamad Haziq

"Setiap tahun, lebih daripada 300 mahasiswa UKM-GSB akan membentuk lebih 30 kumpulan dan masing-masing menganjurkan program CSR.

"Setiap kumpulan mempunyai pendekatan tersendiri melaksanakan CSR masing-masing. Bagi kumpulan kami, fokus diberikan kepada usaha kesedaran memulihara dan memelihara sungai daripada ancaman ikan asing," jelasnya.

Tambahnya, sifat ikan bandaraya ialah memakan telur ikan tempatan dan boleh membiak dengan cepat selain merosakkan tebing serta dasar sungai.

No Image Caption

"Bayangkan dalam tempoh tiga jam membabitkan lingkungan 300 meter sungai, kita berjaya tangkap hampir 1.1 tan ikan bandaraya berbanding spesies tempatan iaitu 1.9 kilogram sahaja. Suatu perbandingan yang sangat ketara," ujarnya.

Untuk rekod, program bersama SPIA itu mendapat kerjasama tajaan TROX Malaysia Sdn Bhd, Amona Group of Companies, Herness Sdn Bhd, Advanced Packaging Technology (M) Berhad, Kopi Saigon Bandar Seri Putra dan Ayam Gepuk Top Global Bandar Baru Nilai.

Tangkap dengan tangan

Sementara itu, Guru Kanan Teknik dan Vokasional merangkap Penyelaras Alam Sekitar SMAP Kajang, Mahani Mahad berkata, seramai 30 orang pelajar bersama lima guru begitu teruja turun ke sungai serta menangkap ikan bandaraya dengan tangan mereka sendiri.

"Kebiasaannya kami mengadakan program lestari alam sekitar ini hanya di sekolah namun berbeza kali ini, kita keluar dari sekolah dan datang ke Sungai Langat untuk tangkap ikan asing.

"Ia pengalaman indah buat pelajar dan guru-guru kerana selain turun menangkap ikan, kami turut diberi penerangan mengenai ancaman ikan asing terhadap sungai tempatan serta kepentingan memelihara sungai serta ekosistemnya," kata beliau.

No Image Caption

Jelasnya, selain memupuk kesedaran, aktiviti itu dapat meredakan tekanan dihadapi pelajar dan guru di sekolah selain memupuk semangat cintakan alam sekitar.

"Tahniah UKM-GSB, mungkin selepas ini kami mahu mengadakan program serupa dengan penglibatan lebih ramai pelajar, guru dan kakitangan sekolah serta ibu bapa," tambahnya.

Usaha tingkat kesedaran lebih berjaya dengan kerjasama syarikat korporat

Peningkatan kesedaran generasi muda terutamanya para pelajar dalam program memelihara alam sekitar lebih berjaya dengan penglibatan lebih banyak pihak seperti syarikat korporat.

No Image Caption

Pengasas SPIA, Mohamad Haziq A Rahman berkata, sejak berdaftar secara rasmi sejak hampir dua tahun lalu, banyak pihak telah tampil untuk bersama-sama menangkap ikan asing terutamanya ikan bandaraya dalam memulihkan kembali ekosistem sungai-sungai tempatan.

"Bagaiamanapun, penglibatan syarikat-syarikat korporat amat dialu-alukan dalam menjayakan lagi program seumpama ni selain program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya generasi muda.

"Berdasarkan pengalaman kami, apabila syarikat korporat memainkan peranan mereka dalam program, ia lebih berjaya dan berkesan.

No Image Caption

"Kami harap lebih banyak pihak daripada sektor korporat dan swasta ini berkolaborasi dengan kami pada masa akan datang," katanya.

Pesannya, orang awam turut dinasihatkan untuk tidak melepaskan ikan-ikan asing ke dalam sistem sungai negara selain menyeru orang ramai agar bersama-sama mereka dalam menjayakan program memulihara sungai dan ekosistemnya pada masa akan datang.

Dari kiri Mahani dan Annisa Safwah
Dari kiri Mahani dan Annisa Safwah

REAKSI

1) "Mula-mula takut untuk turun ke sungai. Tapi apabila turun, rasa seronok dapat tangkap ikan bandaraya bersama rakan-rakan. Ikan ini tidak sepatutnya berada di dalam sungai kita, ia menyebabkan populasi ikan tempatan semakin berkurangan." 

- Pelajar SMAP Kajang, Annisa Safwah Syaifol Bakhtiar

2) "Ikan bandaraya boleh menyebabkan tebing sungai semakin terhakis, lama-kelamaan ia boleh runtuh dan menyebabkan boleh berlaku banjir untuk jangka masa panjang. Sebagai murid, perlu ada kesedaran untuk menjaga sungai kita daripada ancaman ikan asing ini." 

- Pelajar SMAP Kajang, Muhammad Fareed Hilmie Mohammad Basir

Dari kiri Muhammad Fareed Hilmie dan Mejar Nor Shah Rina
Dari kiri Muhammad Fareed Hilmie dan Mejar Nor Shah Rina

3) "Pertama kali 30 anggota dan 101 Komp KPTD turun ke sungai menangkap sendiri ikan asing seperti ikan bandaraya dan memusnahkan mereka demi kelestarian ekosistem sungai kita." 

- Pegawai Pemerintah 101 Komp KPTD, Mejar Nor Shah Rina Abd Wahab

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp