UMP lancar kolej kediaman konsep wakaf
Sebuah kolej kediaman berkonsepkan wakaf atau dikenali Kolej Kediaman Mawaddah bernilai RM5 juta telah siap dibina di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di Pekan, Pahang.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan percuma yang memanfaatkan 220 pelajar asnaf itu adalah inisiatif pengurusan UMP bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
"Penyediaan kediaman secara percuma ini merupakan usaha yang pertama kali dibuat di negara ini, justeru, saya berharap institut pengajian tinggi (IPT) lain boleh mencontohi pendekatan UMP.
"Saya percaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan kerajaan negeri dapat membantu IPT lain yang berminat untuk melaksanakan konsep sama pada masa hadapan dan ia juga tidak hanya tertakluk kepada pembinaan kolej kediaman pelajar," katanya ketika melancarkan Kolej Kediaman Mawaddah di Pekan, Pahang, baru-baru ini.
Hadir sama Pro Canselor UMP, Tan Sri Dr Abu Musa Asa’ari Mohamed Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman; Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin; Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, UMP telah menyumbang kos pembinaan kolej kediaman berkenaan sebanyak RM3 juta manakala RM2 juta lagi adalah hasil kutipan pemberi wakaf lain.
"Ia menempatkan sebanyak 110 bilik kediaman pelajar yang kondusif dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, sokongan akademik, aktiviti sosial, kegiatan sukan dan kebajikan.
"Kolej Kediaman Mawaddah ini dibuka kepada semua pelajar berkeperluan tetapi keutamaan diberikan kepada kumpulan pelajar asnaf dan anak yatim," ujarnya.
Sementara itu, Yuserrie berkata, bangunan terbabit akan memberi manfaat kepada kira-kira 220 orang mahasiswa berkeperluan, terutamanya golongan asnaf dan anak yatim.
“Langkah proaktif UMP dan MUIP ini juga telah merealisasikan hasrat untuk membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan serta kos sewa rumah yang semakin meningkat dari semasa ke semasa yang perlu ditanggung oleh mereka,” ujarnya.