Mohamed Haniffa (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Graham (empat dari kanan) sebagai simbolik upacara perkongsian strategik kedua-dua pihak.
Mohamed Haniffa (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Graham (empat dari kanan) sebagai simbolik upacara perkongsian strategik kedua-dua pihak.

Universiti MAHSA, Universiti Portsmouth jalin perkongsian strategik

ZURAIMEE ZAINALZURAIMEE ZAINAL
13 Sep 2025 10:33pm

Universiti Portsmouth, United Kingdom memeterai perkongsian strategik bersama Universiti MAHSA dan Kolej Antarabangsa Avenue MAHSA dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara institusi pendidikan tinggi.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, Tan Sri Profesor Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah, yang menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu lembaran baharu ke arah memperkasakan hubungan akademik dan mobiliti pelajar.

"Perkongsian ini akan membuka peluang lebih luas kepada pelajar dan staf akademik kedua-dua institusi untuk membina jaringan global, selain meningkatkan daya saing graduan di peringkat antarabangsa," katanya.

Universiti Portsmouth pula diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Graham Galbraith, yang turut menegaskan komitmen universiti berkenaan untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, khususnya dengan institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

Kerjasama strategik dengan Universiti Portsmouth menyaksikan lebih daripada 15 program ijazah baru akan diperkenalkan dalam pelbagai bidang yang amat relevan dengan keperluan industri dan perkembangan global.

Antara bidang yang ditawarkan termasuklah Sains Kesihatan, Psikologi, Sains Sukan, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Farmasi, Sains Data, Kecerdasan Buatan, Keselamatan Siber, Pengkomputeran Kreatif, Pemasaran Fesyen dan Jurnalistik.

Program-program ini akan mula ditawarkan kepada pelajar pada tahun 2026, direka khas untuk memenuhi piawaian akademik Malaysia dan UK.

Dengan ini, graduan bukan sahaja dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan, tetapi juga lebih bersedia untuk bersaing di peringkat global.

Artikel Berkaitan:

Pada Ogos lalu, MAHSA turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti swasta pertama dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menubuhkan Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi kursus Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC), bagi memastikan semua program ditawarkan menepati piawaian serta diiktiraf.

Untuk rekod, program micro-credential merujuk kepada sijil pembelajaran berskala kecil serta fleksibel, memfokuskan kemahiran tertentu yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Kursus pendek ini boleh diambil tanpa perlu mengikuti program akademik penuh seperti diploma atau ijazah, menjadi jalan pintas untuk pembelajaran sepanjang hayat yang menjimatkan masa.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp