Ahmad Farhan (dua dari kiri) selepas perasmian JSSC di Kampus Wakatmatsu Kyutech, Khamis lalu.
Ahmad Farhan (dua dari kiri) selepas perasmian JSSC di Kampus Wakatmatsu Kyutech, Khamis lalu.

UPM rasmi pejabat satelit pertama di Jepun

13 May 2024 07:30am

Khamis lalu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah merasmikan Pusat Satelit Super UPM-Kyutech (JSSC) di Kampus Wakatmatsu Kyutech, Jepun.

Ia merupakan pejabat satelit UPM di luar negara yang pertama bersama Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Menurut Ahmad Farhan, sebelum ini, Kyutech turut membuka kampus satelitnya iaitu Malaysia Super Satellite Campus (MSSC) di UPM yang menjadi simbol persahabatan dan kebersamaan Malaysia dan Jepun.

"Sejak penubuhan MSSC di UPM, ia telah menjadi pemangkin untuk meningkatkan usaha pengantarabangsaan kedua institusi termasuklah memupuk program mobiliti mahasiswa dan pegawai, penganjuran seminar bersama, pembiayaan inisiatif penyelidikan serta penawaran program akademik secara berkembar," ujarnya.

Kata beliau, pembukaan rasmi JSSC memperkuatkan usaha UPM untuk mempromosikan perkongsian strategik, pertukaran budaya dan kerjasama akademik.

“Pemilihan Kyutech bertepatan dengan hasrat UPM untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan Jepun bagi melahirkan generasi penuntut, pensyarah dan pentadbir UPM yang berdaya saing dalam bidang diceburi dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara masing-masing,” tuturnya.

Terdahulu, majlis perasmian JSSC turut dihadiri Presiden Kyutech, Profesor Dr Yasunori Mitani; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Profesor Dr Ismi Arif Ismail; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Profesor Dr Arifin Abdu dan Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa Kyutech, Profesor Dr Tohru Kamiya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp