UPSI, KPN meterai MoU perkasakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

AZLEENDA SAHALUDIN
10 May 2023 05:00pm
A
A
A

Kerjaya sebagai guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) bukanlah satu perkara baharu hari ini memandangkan kursus pengajian Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah diperkenalkan di universiti-universiti awam dan swasta.

Kursus ini memberi penerapan dan pemahaman tentang pendidikan prasekolah buat bakal pendidik awal kanak-kanak agar mereka dapat mencurahkan ilmu di mana-mana pusat asuhan, TABIKA atau Taman Dididikan Kanak-Kanak (TADIKA).

Bakal pendidik awal kanak-kanak ini juga sama penting dengan guru di sekolah rendah atau menengah memandangkan anak-anak akan menerima ilmu bermula daripada peringkat awal terlebih dahulu sebelum menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Melihat kepada kepentingan perkara berkenaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi memperkukuh, menggalak dan membangunkan kerjasama dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di Tabika Perpaduan.

Menurut Timbalan Naib Canselornya (Akademik Antarabangsa) Profesor Dr Marzita Puteh, MoU tersebut bertujuan menjalinkan kerjasama antara universiti awam dengan kementerian.

Kata beliau, kerjasama ini juga dapat membantu memperkasakan kualiti program akademik Pendidikan Awal Kanak-kanak di UPSI sebagai hub PAKK Negara dalam menyediakan pedagogi yang seiring dengan keperluan semasa.

“Dengan terjalinnya kerjasama antara UPSI dan pihak kementerian ini akan membuka peluang kepada kedua pihak untuk meningkatkan visibility sebagai universiti awam dan industri yang mewujudkan kelestarian program akademik selaras dengan perkembangan industri pendidikan awal kanak-kanak negara.

“Ini juga bertepatan dengan konsep yang diterapkan oleh universiti iaitu 3R@UPSI merangkumi Relevant, Referred dan Respect.

Artikel Berkaitan:

“Bukan itu sahaja, kerjasama ini dapat mewujudkan sinergi budaya kolaboratif antara institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan industri dalam menyediakan pendidikan berasaskan bukti secara menyeluruh dan holistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KPN, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim berkata, kerjasama ini bakal menyaksikan pengukuhan pendidikan Kurikulum Standart Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang berlandaskan Rukun Negara selain pengukuhan program-program perpaduan dan nilai-nilai murni dengan sasaran lebih 37,012 orang murid di 1,781 buah Tabika Perpaduan seluruh negara.

Tambah beliau, kerjasama berkenaan turut melibatkan pembentukan modul bagi Kursus Asas Pendidikan Awal Kanak-Kanak Guru serta Penolong Guru Tabika Perpaduan.

“Beberapa inisiatif akan dibangunkan oleh KPN bersama Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI antaranya pembangunan video interaktif Komunikasi Asas Pelbagai Bahasa selain memantapkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) Tabika Perpaduan melalui kaedah yang menarik di bawah program i-Fikir.

“Antara yang akan dilaksakan termasuklah mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat di dalam pembelajaran melalui program Genius ICT dan i-Pintar,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok