UPSI, UniSZA meterai MOU dengan University of London, promosi bahasa Melayu
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London bagi mempromosikan bahasa Melayu di benua Eropah.
Menurut Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, jalinan kerjasama yang dimaterai itu adalah salah satu usaha dalam menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai pengantarabangsaan pusat pengajian pendidikan tinggi tanah air.
Ia juga untuk menjadikan negara sebagai hab pembangunan bakat sekali gus dapat mengembangkan bidang diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia.
“MoU dengan kedua pihak ini memfokuskan pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar mahasiswa dari kedua-dua institut.
“Ia turut melibatkan perkhidmatan serta kerjasama dalam penyelidikan dan pertukaran kepakaran bagi tujuan pembangunan di samping mengembangkan ilmu dalam bidang bahasa lingua franca berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Razak memaklumkan, sebagai institut pendidikan yang terulung dengan usia mencecah 100 tahun, UPSI sentiasa mencari ruang dalam memartabatkan bahasa kebangsaan itu sekali gus menjadikan pusat pengajian mereka sebagai rujukan pendidikan khususnya demi kepentingan memartabatkan bahasa ibunda selaras dengan hasrat universiti untuk mengangkat kebitaraan pendidikan.
“UPSI merupakan universiti yang mempunyai sejarah panjang sejak zaman pra kemerdakaan dan universiti ini telah menjadi pusat perkembangan pejuang kemerdekaan serta ilmuan orang Melayu.
“Dengan semangat dan inspirasi dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang ditubuhkan pada 1922, kini UPSI menyimpan pelbagai khazanah untuk dikembangkan layarnya ke benua Eropah melalui kajian serta Penyelidikan di fakulti-fakulti, pusat bahasa mahupun Institut Peradaban Melayu yang telah bertapak di bumi Muallim,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam yang turut hadir memberitahu, kerjasama ini dapat dipergiat dan diperluaskan dengan tidak terikat kepada projek pendigitalan manuskrip semata-mata tetapi juga membuka ruang kerjasama dalam bidang lain terutamanya projek pendigitalan manuskrip Islam dan Melayu yang berada dalam koleksi SOAS.